Saturday 24 January 2009

Budaya Filem Pendek

BOLEH DIKATAKAN semua institusi pendidikan - awam atau swasta menerbitkan filem pendek. Hasil kerja pelajar / guru; terserlah apabila diadakan tayangan, dan festival yang berkaitan. Dalam suasana ini filem pendek telah membina komunitinya sendiri. Perkataan 'indie' tidak begitu kedengaran lagi. Komuniti filem pendek sedang melimpah ke luar kampus.

Pada umumnya cerita dan idea dalam filem pendek jauh lebih baik dari yang terdapat dalam "filem panjang" atau feature length story. Ini di Malaysia.

Kerana bentuknya yang pendek, iaitu yang tidak memakan masa tayangan yang panjang, kehadiran filem pendek yang dikatakan lebih baik itu patut dimenafaatkan, dipopular atau dimasyarakatkan. Satu cara ialah dengan mengadakan tayangan pusingan secara tetap oleh pihak tertentu di venue-venue tertentu. Satu cara lain ialah dengan memulakan langkah menayangkan filem pendek sebagai acara 'selitan' di pelbagai perhimpunan, di dalam mesyuarat-mesyuarat; dimana sahaja.

Saya sebenarnya sedang mengambil langkah untuk menubuhkan suatu team bagi mencuba perkara ini. Saya juga sedang mencari beberapa orang untuk bersama saya.

Mungkin ini antara jalan yang boleh menyumbang kepada perkembangan budaya filem di Malaysia.

Wallahualam

Monday 19 January 2009

Apa lagi yang ada dalam UMNO

TAN SRI MUHYIDDIN kata "UMNO telah hilang faktor penarik"

Benar dan benar sekali. Inilah yang telah saya katakan semenjak penolakan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional selepas Mac lalu.

Pemimpin-pemimpin UMNO balik-balik bercakap benda yang sama. Perlu dibuat pembedahan, penilaian. Perlu lakukan perubahan, perlu musabahah diri dan macam-macam perlu lagi. Tapi selagi semua orang UMNO membuat komen hanya kerana hendak menunjukkan mereka ada fikiran, atau mengeluarkan kenyataan sebagai plot menonjolkan diri dengan buah fikiran yang itu itu jugak, tak payahlah. Anda semua tidak akan dapat berbuat apa-apa selain dari tambah merosakkan diri sendiri dan parti.

Kalau mahu tahu fikiran rakyat - rakyat sebenarnya telah jelak dan telah puas dengan stail, perawakan dan gaya berfikiran corak UMNO/BN. Yang mungkin boleh memikat semula rakyat hanyalah dengan cara memaparkan UMNO/BN dengan wajah baru. Untuk UMNO/BN kelihatan baru satu sahaja yang boleh dilakukan iaitu "menderetkan hanya muka-muka baru yang tak sakit hati orang memandang dalam barisan kepimpinan UMNO terutama di dalam majlis tertinggi parti dan kerajaan". Selagi ada muka-muka yang menjadi penyebab mengapa rakyat menolak parti itu selagi itulah sukar bagi UMNO/BN memikat semula hati rakyat.

Bolehkah pemimpin-pemimpin UMNO yang ada lakukan ini, iaitu melantik barisan pemimpin yang 100% baru dalam barisan kepimpinan parti dan dalam kabinet (sepertimana dilakukan Singapura). Tentu sukar.

Dan kalau ini tidak mahu dilakukan, nanti sahajalah saat dimana segalanya tidak akan boleh berpatah balik lagi


Sunday 18 January 2009

Secebis Coretan PRK Kuala Terengganu

SAYA bertolak ke Kuala Terengganu bersama Hasshim Abu Hanifah 16 Januari 2009 jam 2.50ptg kerana siaran langsung rancangan Blog RTM dari Universiti Darul Iman sebelah malamnya. Dalam kapalterbang saya nampak muka-muka orang politik tertentu antara mereka ialah "Usu Sukam", dan beberapa orang yang memakai kemeja puteh dengan logo UMNO.

Tiba di LT Sultan Mahmud Kuala Terengganu saya melihat ramai anggota polis berkeliaran di sana sini. Saya juga ternampak Ong Tee Kiat presiden MCA yang juga menteri kesihatan, dan terpandang juga bekas pengarah pengurusan polis Datuk Christopher Wan. Christopher Wan ke Kuala Terengganu saya kira bukan untuk membantu berkempen tetapi bermain golf, kerana beliau membawa beg kayu golf yang besar.

Saya kemudian disapa oleh seorang pegawai polis trafik yang menyebut nama saya dengan lengkap "Mahadi J Murat?". Saya mengangguk dan kami bersalaman. Beberapa orang anggota polis lain menyertai kami. Kami berbual ringkas. Anggota polis itu ialah di antara 6000 anggota polis yang dibawa khas dari seluruh negara untuk membantu perjalanan pilihanraya kecil Kuala Terengganu. Saya bertanya anggota polis tersebut keadaan di Kuala Terengganu. Beliau memberi isyarat yang tidak begitu memperlihatkan keadaan yang baik untuk BN.

Saya kemudian terus ke kampus kota Universiti Darul Iman, dan kebetulan berjumpa dengan Naib Canselor universiti tersebut yang juga rakan saya semasa di Universiti Malaya iaitu Profesor Datuk Ilias Daud; sempat berbual dan bergurau senda ringkas dengan beliau.

Selepas kira-kira sejam di UDI saya kemudian dibawa dengan kereta oleh beberapa orang wartawan dan petugas media menaikki MPV melalui jalan-jalan penting di KT dan kemudian singgah di sebuah rumah yang disewa khas untuk musim pilihanraya ini. Sepanjang jalan saya lihat poster, bendera, dan gambar-gambar pilihanraya parti-parti yang bertanding begitu padat sekali. Kehadiran Pas begitu menonjol sekali dalam pilihanraya ini.

Seorang wartawan kanan memberitau saya payah untuk BN kali ini. Saya tanya kenapa? Dia menjawab BN tak ada orang. Ketua Penerangan UMNO negeri pun tak nampak muka. Orang-orang yang dilantik memimpin pekerja parti diberi peruntukan misalnya RM500 ribu seorang, tetapi duitnya tak sampai ke bawah, tak ada pekerja yang bekerja bersungguh-sungguh. Orang Pas di mana-mana sahaja, dan mereka bekerja begitu komited untuk memenangkan calon parti mereka, walaupun tak mendapat habuan. "Bayangkan orang-orang yang memasang poster dan bendera untuk Pas terdiri dari Profesor Madya, Doktor dan lain-lain. UMNO ?. Yang ada katanya bila menteri-menteri datang disitulah semua orang berlonggok untuk menunjukkan muka. Bekerja tak ada orang.

Satu lagi kata dia di kampong Cina. BN menganjurkan jamuan untuk pengundi-pengundi di kawasan tersebut, mereka semua datang. Tapi bayangkan apabila DAP datang, pengundi-pengundi tersebut keluarkan duit dan anjurkan majlis makan untuk Pakatan Rayat.

Begitulah keadaannya.

Malam itu selepas siaran langsung kami meronda lagi, dan sentimennya tetap tidak memperlihatkan sinar baik bagi BN.

Esoknya hari mengundi saya dan Hasshim berlepas pulang ke Kuala Lumpur jam 10.00 pagi. Di airport kami tersua Hamid Albar dan sempat besalaman dan bercakap sepatah dua dengan beliau. Di tempat menunggu untuk berlepas saya dan Hasshim duduk di penjuru belakang dan memasan secawan kopi di Cafeteria. Dari jauh saya melihat seorang tokoh yang kami kenali berjalan datang dan menghampiri kami dan mengamnbil tempat duduk di meja kami. Beliau ialah Tan Sri Khalid Ibrahim, menteri besar Selangor yang berbual panjang dengan kami sehingga ke dalam kapalterbang.

Bagaimanapun tak ada soal Kuala Terengganu yang kita bualkan.

Malam tadi selepas pulang dari pasar malam untuk membeli bekalan pasar seminggu, isteri saya memberitahu Pas memenangi kerusi parlimen Kuala Terengganu.

Saya tersenyum, kemudian mendail suatu nombor.

Wednesday 7 January 2009

Inilah ...RTM

DILUAR sedar dalam beberapa hari ini saya membiarkan televisyen di bilik pejabat saya terus dihidupkan dengan siaran dari TV1, dari sewaktu saya masuk ke pejabat hingga sampai waktu pulang.

Tugas saya yang banyak berkaitan dengan pembacaan, penulisan, membimbing pelajar-pelajar dalam penyelidikan, penganalisisan topik-topik tertentu berjalan dengan selesa bersama siaran di televisyen tersebut.

Boleh dikatakan saya kini berada lebih lama di pejabat setiap hari, berbanding dengan masa-masa lalu.

Saya rasakan RTM telah menemui kunci penyakit yang diidapinya sekian lama dan mula menjadi sebuah stesen yang competative. Walaupun masih terdapat sedikit-sedikit kelemahan di sana sini, dengan masa dan usaha yang konsisten; ia akan dapat diatasi.

Tahniah kepada semua kawan-kawan dan mereka yang terlibat, dan jangan lupa kita membuat review hasil pekerjaan kita dari semasa ke semasa untuk pemantapan dan penambahbaikan, tanpa perlu datangnya arahan. Salam

Tuesday 6 January 2009

Bengkel Lakonan Bimbingan Wanita Iran

HARI ini saya dikunjungi seorang pelajar post graduate di bawah seliaan saya dari Iran yang sedang membuat kajian secara comparative study tentang "The Role of Women in Iranian and Malaysian Cinema" - beliau menawarkan diri untuk mengendalikan latihan/bengkel kepada sesiapa yang berminat dalam "lakonan filem dan teater pengalaman Iran". Parissa Vossoughi mempunyai pengalaman yang luas sebagai pelakon filem, pentas dan televisyen di Iran. Belajar bidang lakonan kaedah "Moscow Art Theatre", dan berpengalaman mendidik pelakon filem dan televisyen di Iran selama 7 tahun. Beliau berada di Malaysia kerana mengikut suaminya.

Parissa sedia menyumbang tenaga menjalankan bengkel selama 4 ke 7 hari di mana-mana institusi, termasuk di kolej, universiti, kelab atau jabatan kerajaan. Beliau boleh dihubungi melalui email:

Monday 5 January 2009


Mencari Imej Melayu 1800

MENELURUSI jejak pusaka seni taridra "Mak Yong" dan usaha untuk mem"visual"kannya dalam bentuk penceritaan gambar bergerak atau moving images membuat saya akrab tiba-tiba dengan Profesor Dr Ghulam Shawar seorang scholar yang amat saya kagumi pendalaman intelektualitinya.

Ghulam adalah pengkaji Mak Yong yang ternama dan terkenal bukan sahaja di Malaysia, Dunia Melayu dan Nusantara tetapi juga di Amerika dan lain-lain alam barat. Melalui usaha beliaulah Mak Yong telah diterima sebagai "Seni Warisan Dunia" oleh UNESCO

Bersama Ghulam saya mencari dan pelajari alam Melayu dari Champa hingga ke Patani, Kelantan dan Terengganu dalam abad ke 18 di mana Mak Yong dikatakan berkembang, walaupun taridra ini telah mula berbunga pada zaman sebelum Islam di pantai timur semenanjung.

Semalam Ahad saya bersama Ghulam telah melihat sendiri bagaimana dunia architecture Melayu telah terbentuk dengan kukuhnya melalui beberapa buah rumah lama yang masih dipelihara di Terengganu.

Saya sebenarnya sedang mencari "gambaran" dunia Melayu era 1800 di pantai timur untuk digambarkan melalui sebuah screenplay yang akan dipindahkan dalam imej gambar bergerak, tidak lama lagi. Insha Allah..

Sunday 4 January 2009

Melakar wajah filem Malaysia

oleh Mahadi J Murat

Selepas 27 tahun Perbadanan Kemajuan Filem Nasional atau Finas ditubuhkan, pertanyaan sama ada Finas telah berjaya memajukan industri filem negara ini atau tidak, masih lagi kedengaran.

Seperti dengan bidang lain, pertanyaan ini boleh sahaja dirumuskan dengan menyatakan bahawa oleh kerana bidang perfileman begitu vibrant dan terus berkembang, penilaian terhadapnya tidak boleh dibuat hanya meneliti sesuatu aspek atau pada satu-satu bentuk dan sudut pandangan sahaja. Tetapi lebih dari itu pencapaian secara menyeluruh dalam konteks agenda pembangunan negara perlulah menjadi asas untuk mengukur pencapaian tersebut.

Justeru itu melihat secara positif pengumuman Menteri Perpaduan, Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal mengenai dana pengeluaran filem kenegaraan semasa merasmikan KL International Film Festival 2008 pada 26 November lalu merupakan sesuatu yang akan melengkapkan usaha memajukan filem dalam konteks pembangunan negara.

Saya yakin pengumuman tersebut tentunya dibuat berasaskan perakuan daripada cadangan Finas yang memiliki segala data dan maklumat mengenai bidang perfileman di negara ini.

Dalam beberapa seminar dan penulisan di akhbar dan majalah saya telah menyatakan sokongan saya terhadap gagasan ini. Malah dalam tahun 2004 ketika Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir semasa menjadi Menteri Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan, Gafim yang ketika itu di bawah pimpinan saya telah mengemukakan rumusan Simposium Industri Perfileman Malaysia mencadangkan antara lain tentang perlunya kementerian menerbitkan sendiri filem-filem yang berkaitan dengan seni budaya dan kenegaraan.

Ekoran daripada cadangan Gafim itu Kadir telah melantik Zakaria Ariffin untuk menulis skrip filem Mahsuri, Hatta Azad Khan (Merdeka Merdeka Merdeka), Anuar Nor Arai (Mahawangsa), dan saya sendiri ditugaskan menulis skrip filem Melaka.

Seingat saya kementerian telah membelanjakan sebanyak RM70,000 untuk setiap satu skrip yang berkenaan. Saya yakin skrip-skrip filem berkenaan masih lagi berada dalam simpanan bahagian kebudayaan kementerian berkenaan dan akan turut diteliti oleh pihak yang berkenaan sama ada ia termasuk dalam kategori filem kenegaraan atau sebaliknya.

Saya difahamkan dana penerbitan filem kenegaraan ini adalah dana pembiayaan filem yang berupa geran yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan melalui Finas untuk membiayai filem-filem tertentu yang termasuk dalam definasi filem kenegaraan itu. Sebanyak RM15 juta telah diluluskan oleh kabinet untuk kegunaan pusingan pertama. Pihak Finas khabarnya sedang menyediakan mekanisme bagaimana proses program ini akan dilaksanakan.

Satu perkara yang sangat penting diputuskan ialah mengenai definisi filem kenegaraan itu. Apakah sebenarnya filem kenegaraan dan bagaimana pula ia harus dikendalikan dan diedarkan terutama selepas filem-filem tersebut diterbitkan.

Perkara ini amat perlu diperjelaskan agar penerbitan filem-filem berkenaan dapat dirancang dengan mengambil kira objektif dan sasaran penerbitannya. Semenjak Finas ditubuhkan dalam tahun 1981 hampir tidak ada filem untuk negara telah diterbitkan di negara ini. Filem-filem yang diterbitkan umumnya hanya berupa filem-filem edaran teaterikal dalam negara yang mementingkan keuntungan dalam konteks perniagaan.

Dengan adanya dana pembiayaan filem kenegaraan ini saya yakin usaha-usaha untuk meningkatkan perhatian dan apresiasi terhadap filem keluaran Malaysia akan dapat dipertingkatkan.

Pengeluaran filem-filem ini juga berjaya memenuhi objektif pengeluarannya akan juga merangsang penyertaan dari pihak swasta yang akan membawa kesan menyeluruh terhadap perkembangan industri filem di Malaysia.

perhatian

Suatu perkara yang perlu diberi perhatian ialah filem untuk kenegaraan ini juga tidak semestinya berupa filem berasaskan sejarah, walaupun sejarah sentiasa boleh dikaitkan dengan kepentingan negara. Yang lebih penting apabila aspek kenegaraan dan bangsa dikaitkan sesuatu keluaran itu perlulah dinilai dari sudut pemikiran, peradaban, nilai seni dan nilai sejarah yang relevan dengan imej sesuatu masyarakat berbudaya.

Antara negara yang mungkin boleh dirujuk Malaysia dalam menilai ciri-ciri kenegaraan ini barangkali ialah negara Thailand. Antara filem Thai yang amat menarik diterbitkan pada tahun lalu ialah filem arahan Putera Chatrichalerm Yukol iaitu filem King Naresuan. Filem ini mengisahkan tentang sejarah kehebatan putera raja bernama Naresuan pada sekitar tahun 1564 dalam era perang Siam dan Burma. Filem ini menelan belanja sebanyak lebih RM60 juta mengambil masa tiga tahun disiapkan dengan set dibina pada kawasan seluas 700 ekar dan mula ditayangkan pada bulan Januari 2007.

Yukol juga menghasilkan filem Suriyothai (2001) dengan kos hampir RM40 juta dan masa pembikinan selama 40 bulan. Tetapi perlu juga diketahui filem Thai yang cukup berjaya di pasaran antarabangsa dalam tempuh tiga tahun terakhir ini adalah filem aksi lakonan Tony Jaa iaitu Ong Bak.

Selain Thailand, Vietnam sebuah negara yang pernah melalui sejarah gelora perang yang panjang mula memperlihatkan perkembangan perfileman yang menarik akhir-akhir ini. Doi Moi atau reformasi ekonomi dan dasar pintu terbuka Vietnam pada sekitar 1986, telah turut memberi kesan kepada kebangkitan pembikinan filem Vietnam. Hasilnya muncul filem antaranya The Scent of Green Papaya (1993) dan Cyclo (1995) arahan Anh Hung Tran, Three Seasons (Tony Bui) dan Buffalo Boy (Minh Nguyen-Vo). Filem terbaru yang sedang sensasi di Vietnam sekarang ini adalah filem Dong Mau Anh Hung (Pemberontak) arahan Johnny Nguyen (pengarah Vietnam-American, sama seperti Tony Bui). Filem berlatarkan Vietnam di awal perang dan dihasilkan dengan kos AS$1.5 juta mengisahkan tentang tentang seorang pemuda yang baru tamat belajar di Perancis pulang ke Vietnam atas tugas rahsia dari kolonialis Perancis tetapi kemudian jatuh hati dengan gadis tempatan yang juga seorang agen Vietcong.

Aspek penting yang saya kira patut juga menjadi matlamat penerbitan filem untuk negara yang dicadangkan itu ialah aspek pembangunan karyawan. Matlamat mencari keuntungan dalam pengertian yang lebih luas hendaklah menjadi objektif pembiayaan filem kenegaraan ini.

Pembangunan karyawan seperti penulis skrip, pengarah, sinematografer, pereka produksi dan editor patutlah menjadi sebahagian objektif pengeluaran filem ini.

Menyentuh tentang penulisan skrip - sebahagian peruntukan untuk pembangunan skrip patutlah diadakan bagi mendapatkan skrip-skrip yang bersesuaian. Dana pembangunan skrip ini tentu dapat merangsang para penulis yang serius untuk menyertai dalam menghasilkan skrip-skrip bermutu yang ada kaitan dengan objektif filem kenegaraan.

Adalah diharapkan kita tidak perlu menunggu selama 27 tahun lagi untuk melihat filem-filem yang benar-benar dapat menyumbang kepada pengukuhan kedudukan kita sebagai suatu bangsa di muka bumi ini.

Dr. Mahadi J. Murat adalah pensyarah di Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik UiTM, Shah Alam.

(Petikan Mingguan Malaysia 28 Disember 2008)

Laksanakan Segera Dasar Kebudayaan Kebangsaan

MAJLIS Perundingan Industri Hiburan Dan Kesenian Tanah Air (MAHKOTA) mendesak kerajaan melaksanakan dengan tegas Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 dan menjadikannya mekanisme perpaduan dan pembentukan bangsa Malaysia yang sejati.

Resolusi tersebut diputuskan pada persidangan perwakilan tahunan Mahkota kali yang ke-3 baru-baru ini.

Usul yang dibentangkan oleh Timbalan Pengerusi Mahkota, Dr. Mahadi J Murat itu menekankan, hanya melalui kebudayaan sahaja, usaha-usaha untuk menjayakan objektif perpaduan negara dapat dicapai.

“Ketika masyarakat pelbagai kaum kalut memperjuangkan cita-cita kaum masing-masing, ketika kedudukan politik negara mula memasuki era teruja oleh konsep demokrasi yang ditafsir dengan pelbagai kepentingan, maka pendekatan seni budaya dan hiburan sahajalah yang boleh digunakan untuk membina keteguhan masyarakat,” katanya.

Menurut Dr. Mahadi, walaupun telah 37 tahun lamanya dasar kebudayaan kebangsaan diwujudkan, namun kerana tiadanya program dan tindakan yang konsisten dalam melaksanakan perakuan-perakuan yang dinyata dalam dasar tersebut hasilnya tidak dapat dilihat dan dirasakan.

“Adalah sesuatu yang malang bagi rakyat negara ini walaupun kerajaan telah menubuhkan sebuah kementerian khusus dalam bidang kebudayaan semenjak negara mencapai kemerdekaan lagi, pembinaan kebudayaan nasional bagi negara masih lagi tidak berjaya dicapai,” jelas beliau lagi.

Mahkota katanya, turut menyeru usaha yang lebih banyak dan fokus dipertingkatkan bagi menentukan objektif perpaduan ini dapat dijayakan secepat mungkin.

Mahkota merupakan badan perundingan yang ahli-ahlinya terdiri dari persatuan, institusi dan badan yang berkaitan dengan bidang seni tanah air yang ditubuhkan bagi menjayakan agenda bidang seni dan hiburan tempatan.

(Petikan Utusan Malaysia Sabtu 3 Jan 2009)

Thursday 1 January 2009

Short Film "Permata Bonda"

I AM HAPPY to note that since last Thursday December the 25th to December the 31st; I was able to see with my own eyes, watching closely on how my son undertakes a job as a film director and editor. Before this my only means of knowing his work was through the DVDs and written articles or essays in published form - a book, a magazine or the internet.

Fikri has been in Korea for the past two years - a year in a program called "Asia Young Film Maker's Forum, in Jeonju" and a year as a master's degree student at "The Korean National University of The Arts (KNUA)" in Seoul. Both programs under the Korean Government scholarship. He is now on a two month holiday before going back to Korea at the end of February to complete his Masters of Fine Art Degree in Film Directing for another year. His first degree was Bachelor of Communication and Media Studies from Monash University. At Monash he was president of Monash Debates Club.
Seeing him doing his work with dedication and skills in a short called "Permata Bonda" which was written by me and sponsored by Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), I believe Fikri is one of Malaysia's future material for film academia and practitioner. To dates he has got 11 shorts to his credit as director, editor and writer.

He is also a good writer and have some of his writing published in books and magazines in the field of art and humanity, the media and education; and critical analysis of films from different countries. He also writes in blogs.

Fikri spent his secondary education in London from Std 5 to form 5, schooling at one Forest Hill's School in south London, where he became a school prefects. He also attended theater class at D&A theater school there. Other than that Fikri also does voluntary work, spending his free time helping young disables at their home.

As for Permata Bonda, I think this is one of the best shot to come out form the hand of a young mind. Fikri is 24.

I pray I will live long enough to see him progress and succeed in his career to uplift the quality of arts, and serves mankind.

Antara Kepuasan Profesionalisme dan Kepentingan Diri..

Diam tak diam saya telah terlibat dalam penerbitan 35 buah rancangan "BLOG" di RTM sebagai penyelidik, penulis skrip dan panel perunding, dan rancangan "PERSEPSI" kendalian Bahagian Berita dan Ehwal Semasa RTM. Dalam tempuh tersebut saya juga telah menyumbang sebagai fasilitator di bengkel penambahbaikan berita RTM di suatu sesi yang dipengerusikan oleh Dato' Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan; dan bulan lalu menjadi fasilitator bengkel latihan pelaporan kira-kira 40 orang wartawan penyiaran yang datang dari seluruh negara. Mulai Januari 2008 ini juga saya telah membukakan akaun blog untuk rancangan "Blog@1" RTM dan akan mengendalikannya, selama selagi rancangan BLOG@1 itu disiarkan.

Semasa Dato' Zam menjadi menteri penerangan dahulu saya juga ada mengemukakan beberapa idea yang berkaitan dengan dasar kementerian, termasuk penambahbaikan program berita yang digerakkan bersama Dato' Zahid Hamidi, program latihan dan peningkatan profesionalisme kakitangan RTM dan lain-lain

Di era Datuk Seri Kadir Sheikh Fadhir menjadi menteri juga saya turut menyumbang dalam pelbagai kapisiti. Begitu juga semasa Tan Sri Khalil Yaacob menjadi menteri penerangan.

Saya gembira pandangan, saranan dan professional contribution saya diterima dengan baik dan dilaksanakan oleh mereka.

Seperkara lagi saya juga gembira mendapati pelajar-pelajar saya dari Universiti Malaya dan UiTM kini berada di hampir semua department penting di RTM, di kumpulan TV Media Prima dan Astro. Mereka berada di jabatan produksi, bahagian perbekalan, penilaian program dan pengurusan.

Itulah nikmatnya saya sebagai seorang individu, seorang sarjana, aktivis dan pengamal dalam bidang perfileman dan media yang benar-benar dapat saya rasakan.

Beberapa hari lalu seorang rakan lama saya terserempak dengan saya di pintu masuk bangunan wisma TV di Angkasapuri. Dia bertanya saya "engkau tak dapat hours di RTM ke. Tak kan tak dapat. Orang yang tak ada apa-apa pun dapat".

Saya terkedu untuk menjawab, kerana memang saya tidak mendapat apa-apa dari jalinan hubungan saya dengan pihak RTM mahupun kementerian. Mungkin itu yang baiknya....

Tahun Baharu

1 JANUARI 2009 mengheret sama usia kita setahun lagi. Apa yang akan terjadi pada diri kita, keluarga kita, masyarakat, bangsa dan negara kita dalam tahun baru ini, tiada siapa yang boleh tentukan.

Yang pasti kita melangkah ke tahun baharu seperti biasa sahaja sebenarnya; seperti hari-hari lain dalam tahun lalu dan tahun-tahun sebelumnya.

Dalam keadaan yang begitu saya percaya yang penting dalam kehidupan kita bukan azam tahun baharu, tetapi azam menjayakan apa yang kita ingin lakukan setiap hari. Mengisi kehidupan setiap hari, setiap jam, setiap minit dan setiap saat dengan kerja dan aktiviti yang boleh menambah nilai kita sebagai manusia, adalah lebih penting dari segalanya.

Dengan ungkapan di atas saya ingin mengucapkan selamat memasuki hari-hari baru dalam tahun baharu Masehi 2009, dan tahun baharu Hijrah, Shawal 1435.

Semoga Allah memberkati dan menerima kehadiran kita dengan baik di muka bumi ini, dan di akhirat kelak. Amin.