Tuesday 3 March 2009

Tun P Ramlee

SEORANG pengarang/wartawan kumpulan Utusan menelefon saya petang tadi meminta komen tentang cadangan seorang ahli parlimen Malaysia untuk mengurniakan Allahyaraham P Ramlee bintang bergelar "TUN".

Saya terdiam sejenak memikirkan cadangan tersebut. Hati saya berbisik dan berkata "masih ada lagi rupanya ahli parlimen yang bertaraf budak fikirannya, seolah-olah tak ada business yang lebih penting yang perlu diperkatakan di parlimen".

Saya tersedar dan kemudian mengatakan, "Saya tidak membantah kalau orang hendak memberi sesiapa bintang apapun, kerana itu mencerminkan apa yang difikirkan oleh orang itu. Tentang P Ramlee saya katakan P Ramlee sudah tiada hampir 25 tahun lamanya. Memberinya "bintang bergelar" pada fikiran saya tidak membawa apa-apa kerana gelaran itu tidak boleh dipakai atau disandarkan pada tubuh orang yang telah meninggal dunia.

Sekiranya benar-benar kita sayangkan P Ramlee, menghargai segala sumbangannya dalam bidang perfileman dan muzik tanah air adalah lebih baik ditubuhkan sebuah institusi kecemerlangan atas nama beliau, sepertimana yang telah saya cadangkan semasa membentang kertas kerja di seminar anjuran Arkib Negara 6 tahun lalu. Saya telah mencadangkan dalam seminar tersebut agar ditubuhkan sebuah "INSTITUT PERFILEMAN P RAMLEE" sebagai sebuah pusat pengajian seni filem dan penyelidikan kesenian nusantara.

Cadangan ini kemudian saya gunakan melalui seorang penulis teks ucapan Pak Lah (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) nya dijadikan "bahan ucapan" oleh Pak Lah (Timbalan Perdana Menteri) semasa merasmikan buku mengenai P Ramlee karangan Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid 4 tahun lalu.

Namun ianya tidak ke mana, hatta setelah Pak Lah menjadi perdana menteri dan sekarang akan tidak jadi perdana menteri lagi.

Itu komen saya mengenai bintang kebesaran yang nampaknya orang-orang seni sekarang begitu kemaruk ingin mendapatnya. Apa tidak Hang Kebun dan pelakon pegang tombak pun dapat jadi datuk.

Buatlah