Saturday 12 March 2011

Saman: Polis Perlu Lebih Efisyen Uruskan Saman

TAHNIAH kepada kerajaan, Polis Diraja Malaysia, terutama rakyat Malaysia yang sentiasa setia dan taat dalam bekerjasama menjayakan mana-mana tindakan yang dilakukan kerajaan.

Saya ucapkan tahniah kerana rakyat yang setia telah mengeluarkan wang yang banyak membayar denda kesalahan trafik sehingga berjuta ringgit banyaknya walaupun sesetengah dari denda yang dibayar kesalahannya tidak mereka sedari telah dilakukan mereka.

Menurut akhbar sebanyak 24 juta saman telah dikeluarkan polis di masa lalu yang tergolong sebagai saman tidak berbayar itu.

Harapan saya ialah polis mencari jalan bagaimana menguruskan perihal saman ini dengan lebih baik lagi, agar di masa hadapan soal saman bertimbun yang berjuta-juta itu tidak menjadi semacam beban kepada masyarakat, dan beban politik kepada kerajaan. Kalau polis dapat 'menguruskan' soal bayaran saman sepertimana efisyennya saman-saman itu dikeluarkan tentulah ia menjadi pasukan yang terus dipandang tinggi oleh mesyarakat.

Pada hemat saya bidang tugas kepolisan moden perlalulah menitikberatkan soal pengurusan dan efesyensi pasukan.