Friday 13 January 2012

TIADA BEBAN BATU DIGALAS..


Mula-mula Dato’ Seri Khir Toyo membawa masalah “didapati bersalah” setelah dituduh menyalahgunakan kuasa / rasuah semasa menjadi menteri besar Selangor.

Kemudian Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil pula dikaitkan dengan masalah NFC yang dikendalikan suaminya dengan dana kerajaan RM250 juta setelah dilaporkan menyeleweng / kerugian besar oleh Juruodit Negara. Hari ini Shahrizat bercuti tiga minggu dari tugas menteri untuk membolehkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah menyiasat beliau.

Pada masa sama di dada akhbar terpapar juga berita mengenai menteri yang menjaga hal ehwal agama bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan dikatakan menggunakan RM63,650 dana zakat sebagai pendahuluan kos peguam mereka, bagi menghadapi saman Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sebagai orang awam, pembayar zakat dan pembayar cukai kami berbual-bual panjang mengenai perkara ini semua. Kita melihat MAIWP begitu bersungguh-sungguh benar menerangkan justifikasi penggunaan wang tersebut hingga ke peringkat menegakkan benang basah. Isu menggunakan wang zakat ini juga ditimbulkan oleh  laporan Audit Negara.

Yang menjadi pertanyaan kami ialah jika saman Dato’ Seri Anwar ditujukan kepada ketiga-tiga respondan atas kapasiti mereka sebagai penjawat awam mengapa kes tersebut tidak diwakili oleh peguam kerajaan (penasihat undang-undang atau Jabatan Peguam Negara) sahaja. Soalan kedua duit mana pula akan digunakan sekiranya ketiga-tiga respondan itu diperlukan membayar denda atau bayar ganti rugi kelak.

Inilah antara perkara tidak wajar dan menyusahkan dari orang-orang yang diharapkan membantu DS Najib, sebaliknya mereka pula menambah masalah..