Friday 30 October 2009

Film Training


SEPANJANG tahun ada sahaja program latihan yang berkaitan dengan filem dianjurkan oleh pelbagai pihak yang ber"kepentingan".

Finas sahaja hampir setiap bulan ada program latihan yang telah diadakan semenjak 1982. Tentunya bagus sekali. Kebelakangan ini pula semakin rancak pihak-pihak lain muncul tiba-tiba menawarkan bengkel itu dan ini, semuanya menggambarkan diri sebagai pandai filem. Macam-macam bengkel yang dipanggil "masterclass" dianjurkan, seolah-olah perkataan masterclass itu baru dijumpai. Bengkel yang tak ada rupa masterclass pun dipanggil masterclass kerana yang jadi "masternya" orang puteh, dan bukan orang Malaysia. Kalau orang Malaysia tak dipanggil master, cukup dengan pembimbing" atau "kelas bimbingan" sahaja.

Tapi benarkah kita memerlukan master-master yang tak kita kenal itu, semata-mata kerana alamat pos mereka di  Hollywood? Akan jadi Hollywood kah industri filem kita nanti, atau Hollywood kah acuan atau wajah filem yang mesti kita lakarkan untuk filem kita. .
Sebenarnya banyak sudah bengkel, seminar, masterclass, kerja-kerja lain yang telah kita berikan kepada "orang-orang" ini dengan bayaran yang sangat tinggi hingga sampai puluhan ribu. Tapi, mana satukah filem yang sudah terangkat dek bengkel dan masterclass oleh master-master Hollywood itu. Mana satu orang yang telah dilonjakkan oleh masterclass-masterclass yang sudah dekat sepuluh tahun diadakan itu? Siapa keluaran masterclass-masterclass ini dimasa lalu tolong angkat tangan. Ada ke ?

Jawabnya tak ada. Kita sebenarnya tidak memerlukan semua itu,


Yang kita perlukan ialah mengadakan ruang dan peluang kepada anak-anak kita yang dilahirkan sendiri oleh sistem latihan kita seperti yang terdapat di Aswara,  UiTM dan bengkel-bengkel Finas sendiri. Selagi peluang ini tidak diadakan, tidak akan adalah sesiapa anak bumi ini yang kenal diri, kenal bangsa; yang setia dan yang komited dengan perjuangan mendaulatkan seni perfileman negara dapat diketengahkan sebagai tanda keberhasilan kita menjalankan program latihan dan pendidikan filem di masa lalu. Para graduan dan lepasan pendidikan dalam negara patutlah kita bangunkan sendiri untuk menjadi tunjang kehebatan kita di masa hadapan..
Bengkel, seminar dan masterclass kelolaan orang luar walaupun dari Hollywood mahupun Bollywood, atau Indowood sekalipun, hanya akan menguntungkan orang yang dijemput itu sahaja, sedangkan hasilnya tidak dapat dilihat. Tanyalah siapa yang telah lahir dari bengkel, seminar atau master class ini.



Saya teringat kata seorang bekas pelajar saya, "selagi orang yang berkuasa memandang orang luar lebih baik dari bangsa sendiri, selagi itulah kita tidak akan dapat membina kekuatan sendiri. Mentaliti kelas rendah orang-orang yang menyangka orang puteh atau Jepun lebih hebat daripada anak tempatan perlu dibuang jauh-jauh sebelum segalanya menjadi lebih rosak dan akhirnya membinasa...

 (Gambar hiasan titipan dari kelas "Pengarahan Aktor" pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda Filem dan Video Aswara)





Sunday 18 October 2009

UMNO untuk semua. Bukan Melayu dalam UMNO..

KIRA-KIRA pukul 7.30mlm semalam Jumaat 16 Okt 2009 saya diminta seorang pegawai kanan Radio 24 Bernama untuk mengulas secara langsung tentang perhimpunan agong UMNO yang baru selesai jam 6.00petang itu. Perhimpunan agong UMNO yang dikatakan bersejarah itu telah meminda secara drastik beberapa peruntukan dalam perlembagaannya, bagi menjadikan UMNO sebuah parti yang lebih demokratik, yang memberi khidmat kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan sebuah parti politik yang penting dan boleh dipercayai oleh semua.

Saya katakan apa yang dilakukan UMNO itu sangat baik dan boleh terus diperbaikki lagi dari semasa ke semasa. Mengenai pentingnya UMNO mendampingi NGO-NGO saya katakan saya sendiri pernah menulis di blog ini pada 25 Julai 2009 lalu tentang pentingnya NGO-NGO didekati oleh UMNO (lihat di sini) kerana UMNO itu sendiri terbentuk dari NGO-NGO Melayu pada mulanya dahulu.

Di Radio 24 semalam saya mencadangkan agar Wanita UMNO, Pemuda UMNO dan Puteri UMNO menjadikan diri mereka sebagai NGO yang berkhidmat kepada masyarakat di tempat masing-masing. Mereka tidak perlu bergerak sebagai entiti politik melainkan berkhidmat kepada masyarakat dengan tidak mengira bangsa dan tanpa muslihat politik. Mengekalkan sebahagian dari UMNO sebagai NGO adalah perkara yang patut dipertimbangkan.

Selain dari itu menjadikan wakil-wakil NGO sebagai rakan dailog yang sentiasa berhubungan dengan UMNO juga sangatlah penting sekiranya UMNO berhasrat untuk benar-benar memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat. Mengadakan "associate membership" kepada wakil-wakil NGO Melayu dan "NGO bukan Melayu" bukan sahaja boleh "mendekatkan" kelompok yang berkenaan dengan falsafah dan perjuangan UMNO (yang dilihat baru) tetapi juga secara tidak langsung merangsang komponan-komponan parti BN yang lain untuk memberi perkhidmatan dengan lebih baik lagi kepada masyarakat.

Bayangkan UMNO itu sendiri mempunyai komponan bukan Melayu bersamanya, walaupun tidak seperti yang dimahukan Allahyaraham Dato' Onn dahulu. Dengan pemimpin-pemimpin penting negara berada di dalamnya, masyarakat bukan Melayu tentu lebih tertarik menjadi "ahli bersekutu" atau "rakan UMNO" daripada menjadi ahli kelab bukan Melayu PAS..