Wednesday 1 April 2020


KERAJAAN “MyPN”
MULA MEMBINA MOMENTUM
Oleh
MahadiJMurat  
 __________________________________________

BILA tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) sekarang tamat 14 April nanti, usia kerajaan Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin (MyPN) akan menjangkau genap 45 hari.

Dalam masa 45 hari ini fokus utama MyPN nampaknya bertumpu kepada memerangi Covid-19, disamping melaksanakan beberapa inisiatif dan strategi merangsang “ekonomi sebagai benteng pertahanan” yang mengukuhkan barisan rakyat dan negara.

Yang menariknya, walaupun pemimpin, pengurusan dan jentera kerajaan di bawah MyPN nampaknya tak banyak yang sibuk-sibuk di hadapan umum, namun hasil kerja harian dan kesatuan mereka telah mewujudkan momentum yang baik. Sekiranya ini dapat terus dilangsungkan, kejayaan besar akan dapat diraih. Insya Allah. Cara ini juga, cara yang terbaik, yang menjawab semua cemuhan dan kritikan orang. “The best argument is actions. Action speak louder than words. Action create results..”, kata orang.

Pada mata orang ramai kerajaan ini adalah kerajaan yang baik. Yang terbentuk mengikut perlembagaan negara selepas enam hari kerajaan sebelumnya meletak jawatan pada 24 Februari 2020. Kalau ada yang mengatakan kerajaan ini kerajaan pintu belakang, atau kerajaan yang dibentuk bukan dari mandat rakyat, pendapat ini tidak tepat. Kerana, kerajaan ini dibentuk hasil daripada keputusan secara berdepan-depan di antara ahli dewan rakyat yang mewakili rakyat, dan Yang DiPertuan Agong, sebagai raja berpelembagaan.

Sememangnya benar, rakyat memilih Pakatan Harapan Tun Mahathir sebagai kerajaan pada PRU-14. Tetapi kerajaan ini hayatnya hanya berjalan selama 22 bulan, apabila ia dengan sendiri dan dengan tiba-tiba meletak jawatan. Mandat 5 tahun yang diberikan rakyat kepada PH Tun Mahathir tidak disudahkan, atas pelbagai sebab, terutama kemelut politik sesama sendiri yang busuk baunya.

Soal pertukaran kerajaan dipertengahan penggal parlimen atau pembentukan kerajaan baru selepas tak ada kerajaan, bukan perkara salah atau janggal dilakukan. Malah ia adalah perkara yang betul, dan merupakan tanggungjawab wajib dilaksana.

Saya teringat,seorang menonton siri televisyen “The Crown”, dan “Designated Survivor”, di saluran Netflix. Salah satu adigan dalam The Crown yang menarik perhatian ialah adigan di mana Winston Churcill Perdana Menteri British ke 61 menyebut nama Herold Wilson muda yang tak disukainya kepada Queen Elizabeth 11, semasa dia mengadap baginda ketika menjadi Perdana Menteri kali kedua dalam tahun 1951. Churcill menjadi Perdana Menteri kali pertama pada tahun 1940 - 45. Dua kali dia menjadi perdana Menteri macam Tun Mahathir juga.

“Designated Survivor” pula ialah tentang seorang bekas profesor, Tom Kirkman yang dilantik sebagai Menteri (setiausaha) baharu yang dengan tiba-tiba mendapati dirinya terpaksa menjadi Presiden Amerika Syarikat apabila Presiden dan anggota kabinet yang lain terbunuh dalam satu letupan besar di Washington. Dalam kesibukan berdepan dengan ancaman pengganas dan berusaha menyelamatkan negara dari kehancuran Kirkman juga terpaksa berhadapan dengan seorang bekas presiden tua, iaitu Moss yang mencabar kedudukan Kirkman sebagai presiden.

Plot cerita filem memang kena begitu, untuk menarik. Tapi dalam realiti, plot kehidupan kadang-kandang berlebih-lebih dari plot filem yang kita tahu.

Satu lagi perkara yang mengusik saya ialah tentang Vladimir Putin, presiden Rusia (2000 – 2008) yang tamat tempoh sebagai presiden, dilantik sebagai Perdana Menteri oleh sekutunya presiden Dmitry Medvedev. Selepas menjadi Perdana Menteri dibawah Medvedev, Putin kemudian bangkit semula menjadi presiden sekali lagi pada tahun 2012 sehinggalah sekarang. Putin juga menjadi presiden sebanyak dua kali.

Itulah politik yang dikatakan sebagai seni serba mungkin, yang diamalkan orang untuk mencari kebaikan, atau mengejar yang sebaliknya untuk diri

Di Malaysia kisah Tan Sri Muhyiddin Yassin membentuk kerajaan dipertengahan penggal parlimen bukanlah perkara luar biasa. Kerajaan pimpinan Tun Razak pun dibentuk pada pertengahan penggal parlimen, iaitu pada 22 Sept 1970. Kerajaan Tun Razak bukan kerajaan selepas pilihanraya umum. Pilihanraya umum selepas Tun Razak memimpin kerajaan hanya diadakan pada 24 Ogos 1974. Selepas Tun Razak, Tun Hussein Onn pula membentuk kerajaan pada 15 Januari 1976, tidak juga dari keputusan pilihanraya umum. Begitu juga dengan Tun Mahathir. Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dan membentuk kerajaan kali pertama pada 16 Julai 1981 iaitu pada pertengahan penggal parlimen, 9 bulan sebelum pilihanraya umum 22 April 1982 diadakan. Begitu jugalah dengan Perdana Menteri yang lain-lain. Semuanya membentuk kerajaan bukan dengan mandat langsung dari pilihanraya umum, tetapi melalui mandat ahli-ahli parlimen.

Di United Kingdom pun begitu juga. Kita boleh melihatnya dengan mudah kebelakangan ini. Pertukaran kerajaan Perdana Menteri David Cameron kepada Theresa May, dari Theresa May kepada Boris Johnson semuanya terjadi tidak selepas pilihanraya umum.

Demokrasi ala Westminster yang diamalkan di Malaysia dan negara-negara Komanwel lain, memilih ahli parlimen sebagai wakil kepada rakyat, Antara tugas utama mereka ialah membentuk kerajaan. Kaedah “First past the post” (FPTP) ini sesuai dengan iklim sosio-budaya, politik dan sejarah negara yang mewarisi pentadbiran British sejak sebelum merdeka lagi.

Untuk Malaysia beralih kepada konsep undi popular atau “proportionate representation” (PR) seperti di Amerika Syarikat atau di Indonesia misalnya, ia memerlukan penelitian mendalam secara menyeluruh yang melibatkan seluruh struktur pentadbiran dan perundangan negara.

Saya menyokong Malaysia kekal dengan first past the post ini kerana merujuk United Kingdom yang telah mengamalkannya semenjak Robert Walpole (1730 – 1742) lagi, kerana, ia adalah model demokrasi mampan yang stabil.

Mengatakan kerajaan Perikatan Nasional sebagai kerajaan pintu belakang atau kerajaan yang merompak mandat rakyat dipertengahan jalan adalah prasangka yang amat tersasar, nakal dan dhaif..

Wallahualam.


_____________