Thursday 30 October 2008

Ekuiti: Tekanan MCA untuk raih sokongan Cina
Abdul Rahim Sabri Oct 29, 08 7:49pm
(dipetik dari Malaysiakini)

CADANGAN agar kerajaan menarik balik syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam sejenis "tekanan politik MCA ke atas Umno ekoran kelemahan pentadbiran kerajaan pada masa ini," kata Pemuda PAS."Dengan jumlah kerusi (BN) yang ada, Umno tidak berupaya berdiri sendiri sebagai kerajaan dan ini membuka ruang kepada parti-parti perkauman dalam komponen BN untuk menggunakan kuasa tawar-menawar mereka bagi menuntut hak-hak yang telah diperakui sebagai hak orang Melayu untuk kaum mereka," kata Salahuddin Ayub, mengulas cadangan naib presiden MCA Datuk Liow Tiong Lai kelmarin.Desakan parti-parti komponen BN semakin lantang menekan Umno, tambah ahli parlimen Kubang Kerian, setelah Parti Maju Sabah (SAPP) menarik diri daripada BN bulan lepas. "Sebelum ini MIC menuntut pelbagai hak untuk India, UPKO pula mendesak supaya hak bebas keluar daripada Islam, manakala Gerakan mendakwa orang Melayu bukan bangsa asal di negara ini. "Dan kini, MCA sebagai parti utama orang Cina, iaitu bangsa yang menguasai perniagaan di negara ini mahu ekuiti ekonomi Bumiputera dihapuskan," tambahnya."Tindakan ini secara tidak langsung boleh menjejaskan kestabilan kerajaan selain mencetuskan api perkauman."Mereka mahu mendapatkan semula sokongan orang Cina yang telah beralih kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum yang lalu. "Senjata yang paling baik ialah membangkit hak orang Cina dalam bidang ekonomi."Sementara itu, sambil menyokong gesaan Liow, calon presiden MCA yang tewas Datuk Chua Jui Meng pula menyarankan kerajaan lebih serius menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) seperti disuarakan oleh timbalan perdana menteri.Datuk Seri Mohd Najib Razak dilaporkan bersedia menggantikan unsur-unsur dasar itu secara berperingkat-peringkat.Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan timbalan perdana menteri itu yang ingin menghapuskan dasar tersebut secara berperingkat-peringkat. Bekas naib presiden MCA itu mencadangkan Mohd Najib merangka agenda khusus dan jadual untuk menamatkan DEB. Chua menggesa pemimpin Umno itu menjadi ”juara seluruh rakyat Malaysia” apabila memegang jawatan perdana menteri tahun depan seperti pelan peralihan kuasa Umno.Manakala Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa kerajaan agar tidak terburu-buru mengubah sebarang dasar yang berkait dengan kedudukan ekonomi bumiputera. "Dasar pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera merupakan salah satu instrumen penting DEB yang bertujuan untuk menangani ketidakseimbangan sosio-ekonomi antara kaum di negara ini," kata presidennya Yusri Mohamad.Beliau juga menyifatkan kenyataan Liow itu bertentangan dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan penyertaan bumiputera dalam sektor ekonomi."Adalah tidak munasabah dasar pemilikan ekuiti ini dihapuskan secara terburu-buru tanpa mengambil kira kesan menyeluruh tindakan itu terhadap kedudukan ekonomi bumiputera. "Dasar sepenting ini tidak wajar diubah semata-mata untuk memenuhi tuntutan politik sesetengah pihak," tambahnya. Oleh itu, kata Yusri lagi, kerajaan digesa melakukan kajian terperinci dengan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum mengubah teras DEB.

Friday 24 October 2008

Hari ini "Shah Rukh Khan". Jackie Chan bila pulak ?

TUN DR MAHATHIR menyokong pemberian bintang kebesaran Melaka kepada Shah Rukh Khan. Saya kira penganugerahan bintang tersebut walau apa pun komen dan pendapat orang tidak ada masalah bagi saya. Pemberian tersebut menunjukkan nilai penghargaan itu sendiri, dan nilai fikiran kita yang memberinya. Cumanya saya ingin berkongsikan beberapa perkara yang memungkinkan kita menjadi lebih cerdik dalam membuat penilaian.

Semasa sibuk-sibuk hendak membangunkan "E-Village" dahulu, Shah Rukh Khan telah melakukan kunjungan hormat kepada Dr Mahathir. Beliau dikatakan berpeluang bersarapan pagi dengan Dr Mahathir pada satu pagi Ahad, dan menurut khabar kemudiannya telah berkuda bersama-sama mengelilingi tapak theme park itu. Sahabat saya "Jack Yusuf" ialah pengarah urusan The E-Village Enteritainment Sdn Bhd ini. Jack, memberitau saya Dr Mahathir dan isteri, malah ramai "isteri-isteri menteri" dan "pak menteri sendiri" meminati bintang Bollywood beragama Islam tetapi beristerikan wanita beragama Hindu ini.

Bukan Shah Rukh Khan sahaja yang diminati Dr Mahathir, pak menteri dan mak menteri ketika itu sampai kini. Jackie Chan, super star filem Hong Kong juga dikatakan menjadi minat mereka. Kita menyaksikan beberapa filem yang dilakonkan oleh Jackie Chan juga digambarkan sebahagiannya di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Jackie Chan malah telah dijemput oleh Dato' Ibrahim Ghafar, developer E-Village menjadi tetamu kehormat nombor satu, iaitu VVVIP di malam pelancaran "perkampongan Seni Pintar" itu.

Kalau nak disabitkan dengan EVillage saya tak nampak kedua bintang filem India dan Cina itu telah menyumbang kepada merealisasikan "mimpi Disney", Tun Dr Mahathir. Malah sebaliknya pada hemat saya merekalah sebenarnya yang menjadi antara penyebab gagalnya projek tersebut, semata-mata kerana tidak mahu EVillage menjadi saingan kepada studio-studio sedia ada di Hong Kong, Mumbai, Madras, Australia, malah Singapura. Selepas EVillage gagal direalisasikan - satu-satunya kegagalan popular Dr Mahathir, tiada lagi bayang Jackie Chan beraksi bertabirkan tempat-tempat kebanggan kita.

Kedatangan syarikat-syarikat filem luar membuat penggambaran filem di Malaysia dan munculnya "dua produk popular filem Hindi dan Hong Kong" itu sebenarnya telah merugikan kita. Kalangan pekerja filem, karyawan dan syarikat filem tempatan tidak bersetuju kerajaan terlalu bermurah hati memberikan segalanya kepada mereka, sementara pengamal filem tempatan menghadapi pelbagai kesukaran untuk menjalankan pekerjaan mereka di negara sendiri. Mereka merungut kerana orang luar ini bukan sahaja telah menggunakan agensi dari luar (seperti dari Sri Lanka) untuk mengaut keuntungan, tetapi juga membawa masuk hampir semua lapisan pekerja dan karyawan filem tanpa mematuhi peraturan dan garis panduan profesyen yang ditetapkan oleh "film guilds" Malaysia. Melalui pejabat sehenti yang ditubuhkan di Kementerian Kebudayaan (kemudian KeKKWA dan KPKKW) mereka diberi kelulusan untuk semua urusan perfileman. Urusan kemasukan dan kelulusan penggambaran yang "terlalu mudah" telah menyebabkan Anak Malaysia kehilangan pekerjaan. Kalau ada pun pekerjaan yang diberikan kepada kita hanyalah sebagai pekerja peringkat rendah seperti menjaga generator, driver, "2nd or 3rd unit operators", "tukang tarik cable" dan "best boy" yang memegang gelas minuman dan astray untuk artis mereka sahaja. Itulah tara "transfer of technology" yang mereka dakwa mereka berikan kepada anak tempatan dalam produksi filem-filem berenaan

Tak ada apa sebenarnya yang telah disumbangkan orang-orang ini kepada industri filem dan negara kita, lebih-lebih lagi dari segi kewangan. Mereka mendapat sokongan dan bantuan pantas dari jabatan-jabatan kerajaan seperti Polis, Dewan Bandaraya, Bomba dan lain-lain. Filem-filem mereka tidak diproses di Malaysia, sebaliknya diproses di Singapura, Hongkong atau Australia.

Mereka sebenarnya lebih banyak mengambil daripada memberi. Imej-imej filem yang digunakan mereka juga sebenarnya tidaklah menjadi bahan promosi secara langsung bagi negara kita. Sesetengahnya malah dieksploitasi dan dipesungkan sebagai tempat lain (yang bukan Malaysia), sepertimana KLCC digunakan dalam filem "Entrapment" yang menjadi kemarahan pemimpin politik Malaysia. Kebanyakan kita sebenarnya tak faham apa erti lokasi dalam sesebuah filem.

Patut difahami seseorang pelakon seperti Shah Rukh Khan atau Jackie Chan bukanlah orang yang menentukan lokasi penggambaran sesuatu babak dalam filem yang mereka lakonkan, kalau itu ukuran jasa yang membuatkan kita merasa terhutang budi dan memandang tinggi kepada mereka sehinggi kita merasa perlu membalasnya dengan sesuatu pengiktirafan. Yang memilih lokasi dan setting penggambaran untuk pelakon beraksi ialah pengarah filem, penerbit, sinematografer, penulis skrip, dan orang-orang yang terlibat mengurus dan mempromosikan filem. Bukannya pelakon. Pelakon hanya diminta berada dihadapan kamera apabila semua telah diputuskan. Concern mereka ialah aksi, watak, teman berlakon dan pergerakan kamera. Di manapun, di langit hijau, di dasar laut atau di bulan sekalipon itulah perhatian, fokas dan tanggungjawab mereka. Jangan terkejut kalau ada pelakon yang beraksi di KLCC tidak sedar mereka sedang beraksi dihadapan bangunan ke dua tertinggi di dunia atau terlupa nama Melaka sebagai sebuah lokasi tempat mereka pernah beraksi satu hari nanti. Mereka tidak begitu kisah sebenarnya dengan tempat di mana mereka diminta berlakon. Perhatian mereka hanyalah pada dunia ciptaan yang perlu mereka masuki dengan watak dan aksi lakonan mereka dengan sebaik mungkin.

Bagaimanapun, on behalf of Malaysian film makers I wish to congratulate Shah Rukh Khan for the honour accorded to you by the government of one of a small state in Malaysia. May you come back and do more promotion for us and remember where we are...

Sunday 19 October 2008

POLITIK CINA

SAYA sebenarnya sangat-sangat ingin mengelak daripada menyentuh soal politik dalam blog ini, kerana politik kini disentuh oleh ramai pihak. Tetapi penjelasan Pak Lah tentang “UMNO bukan pembuli”, dan kenyataan Ong Ka Ting yang mendakwa “Perkongsian Kuasa Hanya Slogan” membuat saya berubah pendirian.



Pada pandangan saya politik negara selama ini telah berjalan atas asas dan pendekatan terbuka oleh UMNO, yang semenjak dari awal lagi sehingga ke hari ini telah memberi ruang yang banyak kepada sekutu-sekutunya dalam Perikatan dan Barisan.



Berdasarkan kedudukan orang Melayu sebagai penduduk majoriti di negara ini, “kerusi wakil-wakil rakyat Melayu” di parlimen dan dewan-dewan undangan negeri, termasuk di Pulau Pinang sebenarnya cukup untuk membolehkan orang Melayu membentuk kerajaan “tanpa” kerusi-kerusi tambahan dari wakil-wakil rakyat bukan Melayu.



Namun begitu, kerana negara ini telah menerima “kaum bukan Melayu” sebagai “rakyat dan warganegaranya” kaum bukan Melayu rakyat baru ini juga perlu dilibatkan dalam politik dan kerajaan di pelbagai peringkat. Ini adalah sesuatu yang wajar dan sangat bermakna kepada masa hadapan negara.



Dengan perkiraan itulah parti UMNO atau “kerajaan Melayu” telah memberi ruang kepada kaum bukan Melayu untuk sema-sama mengurus dan mentadbir negara. Ia adalah pengorbanan dan sikap memandang kehadapan yang positif bagi UMNO dan orang Melayu



Pengorbanan ini dapat diperhatikan dengan melihat berapa banyak kawasan yang berpenduduk majoriti Melayu telah diberikan kepada pemimpin-pemimpin MCA dan MIC (sebagai contoh) termasuk kepada Ong Ka Ting sendiri yang memilih kerusi selamat di Johor untuk dirinya.



Lihatlah kerusi mana yang ditandingi oleh bekas presiden MCA Ling Liong Sik, Neo Yee Pan, Samy Vellu, dan S. Subramaniam dan lain-lain. Mereka semua diberikan kerusi selamat untuk menentukan mereka dapat berada di dalam kerajaan. Semuanya atas pengorbanan UMNO dan orang Melayu.



Sekiranya UMNO tidak memberi ruang ini kepada mereka berkurangan atau tiadalah pemimpin-pemimpin tersebut di dalam kerajaan.

Mengenai “perkongsian kuasa hanya slogan” seperti yang didakwa Ka Ting, saya merasa amat pelik dengan nada suaranya itu. Nada suara yang tidak pernah kedengaran selama lebih lima belas tahun semenjak menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Dalam Negeri (1993) hingga menjadi seorang menteri dan berjawatan presiden parti, beliau dan wakil-wakil MCA yang telah diberi kuasa, tempat dan jawatan di setiap peringkat pentadbiran kerajaan dari majlis-majlis daerah hingga kepada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.



Tidakkah menganggotai kerajaan pusat, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan dan menduduki pelbagai jawatankuasa yang dibentuk oleh kerajaan itu berupa kuasa yang diberi, atau yang dikongsikan kepadanya atau parti, atau kaum yang diwakilinya.



Apakah definisi kongsi kuasa itu bererti kuasa yang ada pada seorang abang diraih atau diturunkan kepada adik atau saudara mara atau kroni, baru maksud kongsi kuasa itu benar-benar terjadi?



Patutlah ahli-ahli MCA menolak adik beliau Ong Ka Chuan yang beliau lantik sebagai Setiausaha Agong MCA, dan kemudian bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden, dan kemudiannya kalah.



Tahniah MCA.

Monday 6 October 2008

Konvokesyen TOA

SEMALAM Ahad 5 Oktober 2008 saya menghadiri konvokesyen "The One Academy" yang diadakan di Sheraton Hotel Subang. Majlis konvokesyen itu saya hadiri kerana salah seorang anak saya adalah graduannya.

2. Saya rasa agak pelik kerana majlis ini tidak menimbulkan suasana akademik yang sewajarnya bagi sebuah institusi pendidikan tinggi. Semuanya dibuat seperti dinner show yang diselangselikan dengan hiburan rock dan nyanyian di atas pentas dengan sebahagian penonton (saya kira pelajar) menjerit-jerit dihadapan pentas dan menari sesama sendiri seperti dalam sebuah kelab malam. Mengapa ini.

3. Tidakkah molek sekiranya majlis ini dihiasi dengan "koir negaraku" dan diikuti "koir lagu rasmi kolej" misalnya tentulah ianya dapat menimbulkan aura akademik yang boleh menyentuh naluri rasa pelajar-pelajarnya.

4. Mungkin Agensi Kelayakan Malaysia atau Malaysian Qualification Agency (MQA) yang bertanggungjawab menilai dan memberi kelulusan pengoperasian penawaran program-program pendidikan kepada syarikat-syarikat tertentu atau Kementerian Pengajian Tinggi sendiri patut menggariskan bagaimana majlis konvokesyan patut dijalankan. .

Entahlah

Friday 3 October 2008

Tak hilangkah Melayu di Dunia?

1. Ada kawan berbalah Melayu kini sudah hilang segalanya

2. Melayu tak boleh lagi bercakap tentang Melayu banyak sangat

3. Melayu tak boleh lagi berkeris, walaupun atas 'pentas'

4. Melayu mesti gunakan bahasa Inggeris, walaupun untuk mengira

5. Melayu mesti berfikir sebagai Malaysia, sebab negara ini Malaysia. Malaysia

ertinya campur aduk, pelbagai dan 'multy'. Kalau bukan multi bukan Malaysia. Melayu sahaja bukan Malaysia.

6. Tak ada Melayu tak apa, asal ada Malaysia. Menteri kebudayaan dulu kata kalau buat filem buat filem Malaysia, bukan filem Melayu. Filem Malaysia, muzik Malaysia, tarian Malaysia.

7. Bahasa pun bahasa Malaysia. Tak payah bahasa Melayu lagi

8. Persekutuan "Tanah Melayu" dah tak ada siapa sebut lagi, cukup dengan panggil "semenanjung". Panggil semenanjung baik sebab tak ada perkataan Melayu. Nama Melayu bangsa lain tak suka. Kita mesti jaga hati bangsa bukan Melayu

9. Yang gigih bercakap semua yang disebutkan diatas ialah orang Melayu. Orang Melayu yang sudah tidak mahu menjadi Melayu lagi

10. Saya tak ada jawapan untuk semuanya itu. Tuan fikirkan sendiri

Hari Raya dan Masjid

TENGAH malam 1 Syawal 1429H bersamaan 1 Oktober 2008 saya antara orang yang beratur di sepanjang kira-kira 100 meter di warung menjual lemang dan ‘rendang tok’ di tepi jalan Hulu Klang bersebelahan dengan Zoo Negara dan Kompleks Studio Merdeka. Jalan Hulu Klang “macet” kata orang Jakarta. Jamm, kata orang Kuala Lumpur kerana kereta-kereta diparker semaunya di kiri kanan jalan akibat mengejar juadah untuk makan di pagi raya.


2. Hampir setengah jam lamanya saya menunggu giliran untuk mendapatkan tiga batang lemang, lima biji ketupat nasi, semangkuk kecil sambal kacang, setengah plastik kecil serunding daging dan kira-kira dua piring cawan rendang tok di warung yang saya kira sangat popular itu. Saya membayar RM76/- untuk semuanya. Mahal. Tetapi itulah harga yang terpaksa dibayar oleh orang seperti saya yang hanya tahu makan . Sebelum beratur di Hulu Klang itu saya telah beratur menunggu giliran mendapatkan 100 cocok satay dari restoran satay Kajang Haji Samuri di Taman Melati. Apa yang hendak saya timbulkan di sini bukanlah soal makanan kesukaan saya yang sangat mahal itu kini, tetapi suatu perkara lain yang menarik perhatian saya dalam menunggu itu.

3. Saya perhatikan dari deretan orang yang sentiasa bertambah itu tidak kurang pembeli dari kaum Cina yang memasan satay di restoran Hj Samuri untuk dibawa pulang dan untuk makan di situ. Ini perkara biasa sebenarnya. Restoran-restoran satay Hj Samuri memang dikunjungi pelbagai bangsa. Hj Samuri di luar sedar telah menjadi agen "pemajmukan" masyarakat tanpa banyak politik. Di tempat menjual lemang dan rendang tok juga saya lihat tidak kurang ramainya kaum lain yang turut berbaris membeli lemang, rendang dan ketupat seperti mereka juga yang akan berhari raya. Keadaannya amat harmoni sekali. Saya simpulkan warung lemang ini juga adalah agen pemajmukan masyarakat kita yang penting. Penerimaan kaum lain terhadap budaya pemakanan Melayu sebenarnya mudah. Ia terjadi dengan sendirinya kerana rasa kepunyaan yang sama-sama dirasai di kalangan masyarakat.


4. Esoknya di pagi raya saya dan isteri telah menunaikan solat sunat aidilfitri di Masjid Taman Melawati tidak jauh dari kediaman kami. Selepas solat dan menjamu selera dengan satay, ketupat, lemang dan rendang yang saya beli malamnya, saya dan keluarga terus berkereta ke Besut, Terengganu melalui Kuantan, Kuala Brang dan Kuala Terengganu, untuk berhariraya bersama keluarga isteri saya di sana. Di Besut seperti di tempat-tempat lain cerita politik dan ekonomi tidak terlepas daripada perbualan sanak saudara dan rakan taulan yang datang berkunjung. Lebih-lebih lagi bagi orang Kuala Lumpur.


5. Saya bertanya seorang biras saya yang kebetulan menjadi naib presiden kanan sebuah syarikat kerajaan (GLC) di Kuala Lumpur, tentang pandangan beliau terhadap desakan parti-parti komponan BN yang mendesak kerajaan melantik lebih ramai kaum bukan Melayu menerajui GLC. Biras saya ini hanya tersenyum sahaja, tetapi bersetuju dengan saya bahawa kita belum memenafaatkan sepenuhnya sumber dan kedudukan kita sebagai orang Melayu peneraju pentadbiran dalam kerajaan dan badan-badan penting yang startegik.


6. Perbualan kami menyentuh pelbagai perkara hingga kepada bagaimana masjid boleh memainkan peranan sebagai agen perpaduan dan pengukuhan bangsa. Kami bersetuju masjidlah satu-satunya entiti sedia ada yang boleh digerakkan dengan mudah untuk membina keutuhan Negara. Betapa tidak, kalau masjid boleh antara lain menjadi pusat yang menjaga kebajikan semua golongan masyarakat termasuk bukan Islam di setiap negeri, daerah dan kawasan, tentulah masjid akan dilihat dan didekati sebagai tempat yang membantu kehidupan masyarakat. Masjid, malah surau yang banyak dan berselerak di seluruh pelusuk negara boleh merubah wajah dan bentuk perhubungan masyarakat dan kaum dinegara ini dengan cepat dan amat berkesan sekali.

7. Selain memberi bantuan di musim raya misalnya, mesjid juga boleh memberi bantuan makanan, pakaian, buku sekolah dan wang ringgit kepada golongan miskin bukan Islam di kawasan masing-masing. Bantuan-bantuan lain seperti perubatan dan kaunseling misalnya dan program-program berkaitan kekeluargaan boleh menyusul kemudiannya dan ini tentulah akan menjadikan Islam sebagai agama persaudaraan yang disenangi dan diterima baik oleh masyarakat bukan Islam.


8. Hari ke tiga di Besut, saya bersolat Jumaat di masjid An-Naim, di Alor Jejawi, Kuala Besut. Masjid ini walaupun tidak begitu besar, tetapi cukup membuat kita merasa berada dalam suasana persaudaraan yang akrab, apa lagi dengan keadaannya yang bersih dan cantik. Saya kemudian membawa ibu mertua saya ke sebuah majlis kenduri kahwin, dan menjamu selera dengan 'gulai kawah' yang menjadi kegemaran saya. Melalui sebatang jalan dalam kampong ketika pulang dari majlis khenduri kahwin itu hati saya tiba-tiba digamit kesedihan. Saya tiba-tiba teringatkan arwah ayah mertua saya yang begitu dekat di hati saya apabila melintasi sebuah surau yang diwakafkannya semasa hayatnya untuk kegunaan orang ramai di kampung Alor Pisang, di Kuala Besut.

9. Sejak hari raya pertama hingga semalam saya telah menerima tidak kurang dari 800 SMS daripada kawan-kawan di seluruh negara, termasuk Yasmin Ahmad yang sedang berada di Pusan Korea Selatan dan Syed Azidi (kickdefella), yang ditahan ISA dalam bulan Ramadhan lalu, serta beberapa orang pengarah filem dan drama swasta yang sudah lama tak ada kerja.

10. Begitulah kehidupan kita yang sentiasa diwarnai pelbagai rasa dan debaran yang tambah menjadikan kita manusia, selayaknya.

11. Semoga hari baik bulan baik ini, yang sewajarnya telah mendekatkan kita semua dengan masjid dapat membina lembaran baru dalam kehidupan kita sebagai umat Islam yang ingin mendapatkan kembali diri kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir Batin

Thursday 2 October 2008

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin