Friday 13 June 2008

Orang tak ada kereta, tak ada gaji macam mana?

ORANG RAMAI marah minyak naik 41 peratus mendadak. Bantahan pelbagai pihak menyaksikan macam-macam jawapan dan langkah diambil kerajaan untuk membetulkan keadaan seperti akan bayar gaji kakitangan kerajaan sebulan dua kali, akan beri subsidi pada kenderaan 2000cc ke bawah, akan kurangkan cukai pendapatan dan lain-lain, yang semuanya kelihatan 'tiba-tiba' dan 'seperti orang bersalah mahu membetulkan kesilapan', sedangkan semua tindakan itu ada kesan sampingan terhadap pengurusan dan budaya kehidupan orang ramai. Semua tindakan ini kelihatan dilakukan tanpa perancangan yang teratur.

Yang paling menyakitkan orang ramai ialah kenaian harga minyak yang banyak itu telah menyebabkan naiknya harga barang-barang keperluan.

Ini menjadi beban dan menekan kehidupan rakyat yang tak makan gaji, yang tak ada kenderaan dan yang tak membayar cukai pendapatan. Mereka tak dapat apa-apa bantuan untuk menghadapi kenaikan perbelanjaan ini. Mereka hanya menjadi orang yang hanya dapat "barang-barang yang naik harganya" dan "tambang kenderaan yang lebih tinggi"

Kerajaan nampaknya hanya mahu membantu kakitangannya sahaja.

Tuesday 10 June 2008

Islam. Jangan di"selam"kan agama ini..

ORANG menggambarkan Islam dengan macam-macam keburukan kita marah. Kita katakan Islam sebenarnya agama yang baik yang sesuai dengan semua zaman dan semua keadaan. Islam terbaik, tersyumul, tersuci, termurni, agama yang memahami dan macam-macam.

Tetapi apabila kita mendapat sedikit "suara", diberi sedikit "kuasa" kita tunjukan suara dan kuasa kita yang bercanggah dengan apa yang kita dakwa. Kita tunjukan perangai buruk kita dengan turut memberi gambaran buruk terhadap agama yang kita pertahankan itu, agama yang kita kata tidak buruk itu.

Apalah salahnya konsep Islam Hadhari yang bertujuan mengemaskan pemahaman masyarakat terhadap nilai dan kebaikan Islam yang selama ini tidak membawa apa-apa keburukan pun kepada masyarakat. Tidakkah kerajaan baru di Selangor dan Pulau Pinang merasa perbuatan mereka menolak malah mengharamkan kegiatan Islam Hadhari itu menambah burukan gambaran tentang Islam di mata masyarakat.

Tidak kah penguasa-penguasa Melayu di Selangor dan Pulau Pinang yang berkenaan berfikir yang mereka telah menyebabkan masyarakat menjadi lebih terkeliru dan menyebabkan agama Islam dipandang rendah?

Sebagai orang kebanyakan saya berharap tolonglah jangan dipolitikan perkara-perkara agama ini. Kalau iapun hendak menolak apa yang dimulakan oleh parti lawan lakukanlah dengan kebijaksanaan secara yang lebih menggambarkan kemuliaan kita sebagai orang Islam yang "beriman"..

Monday 9 June 2008

“Harga Minyak Malaysia Kini Antara Yang Termahal”

A Kadir Jasin
(petikan dari Kadirjasin. Blogspot.com)

PADA hari Sabtu, 7 Jun, akhbar The Star menyiarkan berita bertajuk PM: Get true picture of global oil price hikes (PM: Dapatkan gambaran sebenar mengenai kenaikan global harga minyak.)

Kata Abdullah Ahmad Badawi beliau berharap rakyat jelata memperoleh maklumat yang betul agar dapat memahami apa yang sedang dihadapi negara.

Setiap orang daripada kita, kata Perdana Menteri, mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing di dalam keadaan yang mencabar ini.

“Dengan itu, marilah kita menghadapi bersama cabaran ini dengan daya tahan demi kebaikan negara dan generasi akan datang.”

Tetapi rata-rata, reaksi rakyat jelata boleh disimpulkan begini -- peranan kerajaan menarik balik subsidi minyak dan menaikkan harga minyak. Tanggungjawab kami adalah menganggung bebannya.

Mengambil ilham daripada seruan Perdana Menteri itu, saya melayari Internet untuk “mendapatkan gambaran sebenar” mengenai kenaikan 41 peratus harga minyak itu.

Sekarang fahamlah saya bahawa akibat kenaikan harga sebanyak 78 sen seliter pada tengah malam Rabu lalu itu, harga petrol kini RM2.70 seliter atau RM10.20 segelen Amerika (US gallon). Dalam Dolar Amerika, ia bersamaan AS$3.12 segelen (AS$0.82 seliter).

(Saya terpaksa mengubah kepada gelen dan Dolar Amerika kerana perangkaan global menggunakan ukuran gelen dan Dolar Amerika. Segelen Amerika bersamaan 3.785 liter. Kadar tukaran adalah RM3.27 kepada satu Dolar Amerika.)

Pada kadar AS$3.12 segelen, harga petrol di Malaysia adalah lebih murah daripada di Amerika Syarikat di mana harganya melepasi AS$4.00 (RM13.08) segelen.

Tetapi kita kena ingat Amerika jauh lebih kaya daripada kita. Mengikut Buku Fakta (Fact Book) Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika, pendapatan purata berdasarkan pariti kuasa membeli (purchasing power parity) rakyat Amerika adalah AS$46,000 tahun lalu.

Dalam bahasa yang mudah, jika pendapatan dibahagikan sama rata, setiap orang penduduk Amerika mempunyai kuasa membeli bernilai AS$46,000 berbanding kita sebanyak AS$14,400.

Itu pun bukan semua rakyat Malaysia mempunyai kuasa membeli sebanyak AS$14,400. Hanya segelintir sahaja yang mempunyai kuasa membeli sebesar itu.

Majoritinya adalah berpendapatan sederhana dan rendah. Mereka inilah yang paling teruk menderita akibat kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang akan dicetuskan oleh kenaikan harga minyak.

Segelen minyak berharga AS$4.00 bagi penduduk Amerika adalah “murah” kerana pendapatan dan kuasa membeli mereka tinggi. Manakala pada kadar AS$3.12 segelen bagi penduduk Malaysia adalah “mahal” kerana pendapatan kita rendah.

Pendapatan penduduk Amerika lebih tiga kali ganda daripada pendapatan penduduk Malaysia. Lagipun Amerika adalah negara pengimport bersih minyak manakala kita adalah negara pengeksport. Maksudnya kita mengeksport lebih banyak minyak mentah daripada mengimport.
Para pembesar kita sering mengatakan harga minyak petrol lebih mahal di Singapura. Betul. Harga segelen petrol di Singapura, mengikut laman web Shell Singapura, adalah sekitar AS$6.28 segelen.

Tetapi pendapatan per kapita PPP penduduk Singapura adalah AS$48,900 atau 3.4 kali ganda lebih tinggi daripada pendapatan per kapita PPP kita. Lagipun Singapura negara kecil, pengangkutan awamnya bagus, tambangnya berpatutan dan Singapura tidak ada setitik minyak pun .

Selain itu mereka ada “pilihan”. Mereka boleh menyeberang ke Johor untuk membeli petrol. Bagi membeli segelen di Malaysia mereka hanya perlu membelanjakan sekitar S$2.63 kerana nilai duit mereka lebih tinggi daripada ringgit Malaysia (RM1 bersamaan 42 sen Singapura.)

Tetapi akibat dasar “flip-flop” kerajaan kita – sekejap tidak boleh dijual kepada orang asing dan sekejap boleh -- penduduk Singapura yang berkali-kali ganda lebih kaya daripada kita menikmati durian runtuh setiap kali mengisi minyak di Malaysia.

Rakyat rasa tertipu dan keliru. Pada 3 Jun Menteri Perdagangan Dalam Negara dan Hal Ehwal Pengguna Shahrir Abdul Samad berkata harga minyak hanya akan naik pada bulan Ogos.

Susah kita hendak faham. Berita ini tersebar satu dunia. Jadi Shahrir cakap karut atau memang harga akan naik hanya pada bulan Ogos tapi entah macam mana bos dia naikkan harga lebih awal.

Jadi saya nak tanyalah sikit. Shahrir tidak hadir mesyuarat Kabinet kah? Tidak masuk akal kalau Kabinet tidak dibawa berunding mengenai keputusan menarik balik subsidi dan menaikkan harga minyak yang sangat berat kesannya kepada rakyat jelata.

Atau (atau) Shahrir cuba memberi amaran bahawa kerajaan akan menaikkan harga minyak sekali lagi Ogos ini?

Satu lagi tabiat buruk sesetengah pembesar kita adalah kecenderungan mereka membandingkan Malaysia dengan negara-nagara yang lebih miskin dan lebih mundur.

Kalau kita hendak banding negara kita dengan negara-negara miskin, tidak perlulah kita bersusah payah hendak menjadi negara maju. Kita jadi sajalah macam negara-negara miskin yang kucar-kacir dan rakyat jelatanya menderita.

Perdana Menteri bercakap mengenai kebajikan generasi akan datang. Apakah prospek mereka jikalau hari ini pun mereka tidak cukup makan, tidak cukup pakai dan tidak cukup persekolahan kerana kos sara hidup dan inflasi yang tidak terkawal?

Jadi itulah lebih kurang kefahaman saya setelah membuat sedikit kajian seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri ketika berucap sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara Sabtu lalu.

Kesimpulannya, harga minyak petrol (dan juga diesel) di negara kita kini adalah antara yang termahal di dunia berasaskan pariti kuasa membeli (purchasing power parity).

Ia semestinyalah akan memberi kesan yang luas terhadap kuasa membeli dan inflasi serta prestasi ekonomi keseluruhannya.

Sunday 8 June 2008

Malay Films at Embassies Worldwide ?

LAST Wednesday I received a call from "Radio Klasik FM, RTM" asking for my comment on calls made by Cultural Minister Dato' Seri Shafie Apdal asking Novelists to write film scripts for shown abroad.

Shafie made the call during a speech while launching a book written by Foreign Minister Dato Seri Dr Rais Yatim's wife, Masnah Rais at the National Library.

Thinking about Rais and Shafie my mind stuck to some ideas of Rais while he was the minister responsible for culture before the March 8 general election. If I am not mistaken when he was at KeKKWa Rais did suggests for Malaysian foreign mission offices to help promote the Malay film using all available facilities and avenue they have overseas.

Now Rais is the minister in charge of the foreign offices. Does he still have the plan for any of his idealism before ?

Friday 6 June 2008

Hari Seniman Hari Kematian ?

29MEI setiap tahun diistihar "Hari Seniman".

Memang sangat baik adanya suatu hari untuk para seniman. Tapi perayaan hari seniman itu biarlah ada tujuannya.

Antara lain hari seniman patut bertujuan meletakan darjat kewibawaan para seniman di tempat yang tinggi dan menjadikan bidang kesenian sebagai agenda kenegaraan.

Sebelum itu siapa sebenarnya seniman itu. Adakah semua yang masuk dalam bidang seni walaupun pegang tombak, walaupun tarik kabel, atau pun sapu habuk layak dipanggil seniman?.

Tidakkah yang digelar seniman itu orang yang tinggi pencapaian ke'seni'manannya, atau orang yang telah melahirkan karya tinggi dalam bidang seni amalanya termasuk para penulis, seni halus, seni lukis, pemain dan pencipta seni muzik tradisional, pelakon, penyanyi, pereka cipta tari dan lain-lain.

Biarlah ada beza antara "pekerja seni", "karyawan" dan "seniman", kerana yang dipanggil seniman sewajarnya orang-orang yang tinggi amalan dan pencapaiannya, serta diiktiraf pula. Menurunkan definisi seniman ke tahap khalayak seni, karyawan dan pekerja seni sebenarnya bukanlah dapat memartabatkan seni dan seniman itu sendiri. Malah mencelarukanya.

Satu soalan yang membuat ramai bertanya, mengapakah perayaan hari tersebut memilih tarikh kembalinya ke rahmatullah "seniman P. Ramlee". Tidakkah "perayaan" tersebut merupakan perayaan yang "worldly" sedangkan hari kembalinya ke rahmatullah seseorang Islam itu hari yang mengingatkan kita pada hari "akhirat". Perbuatan merayakan sesuatu pada tarikh kembalinya seseorang seniman Islam itu sendiri pada hemat saya amat tidak seniman sifatnya.

Thursday 5 June 2008

Bukan Rakyat Penyebab Perpecahan

A Kadir Jasin
(dari kadirjasin.blogspot.com)

BANYAK juga pembahas blog ini yang merungut bahawa di saat-saat negara memerlukan perpaduan dan persepakatan minda dan perancangan untuk menangani berbagai masalah, kita sebaliknya berpecah-belah.

Mereka menyebut mengenai masalah ekonomi, khasnya kenaikan kos sara hidup, peningkatan jenayah, kedaulatan negara dan perkongsian kaum.

Saya setuju. Malah sejak tahun 2006 lagi saya telah memberi amaran mengenai kesan negatif kenaikan harga barang dan perkhidmatan apabila kerajaan menaikkan harga bahan-bahan petroleum.

Malahan rencana pertama blog ini adalah mengenai kenaikan harga minyak bertajuk “Mengatasi Beban Kenaikan Harga Minyak” yang saya siarkan pada 28 Februari, 2006.

Antara lain, saya menulis: “Kenaikan harga minyak hari ini tentunya akan membebankan lagi rakyat jelata. Mula-mula sekali, kos pengangkutan akan naik. Lepas itu harga barang-barang pengguna akan naik. Bersama-sama dengan itu, naik jugalah kadar inflasi.”

[Komen menggunakan “anonymous” TIDAK AKAN DILAYAN]

Saya menutup rencana itu dengan hujah berikut: “Untuk terus memperkasa sebuah negara Islam Hadhari yang berpaksikan tamadun dan peradaban, kita perlu menjaga kebajikan rakyat jelata dengan memperkasa ekonomi mereka.”

[UPDATE]

KITA baru sahaja bercakap mengenai kenaikan harga sebagai salah satu punca kegagalan Kerajaan Abdullah mendapat keyakinan dan sokongan rakyat jelata. Berikut berita terbaru daripada Bernama mengenai kenaikan harga minyak.

“Petrol Dan Diesel Naik Mulai Tengah Malam Ini, Umum PM

PUTRAJAYA, 4 Jun (Bernama) -- Berkuatkuasa tengah malam Rabu harga petrol dan diesel masing-masing akan meningkat sebanyak 78 sen dan RM1 bagi setiap liter, umum Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata berikutan kenaikan itu harga baru petrol di pam adalah RM2.70 seliter manakala diesel RM2.58 seliter.

Bercakap pada persidangan akhbar di pejabatnya di sini, Abdullah berkata bagi mengurangkan beban kenaikan petrol dan diesel khususnya kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana, Kabinet bersetuju memberi bayaran tunai kepada warga Malaysia yang memiliki kenderaan persendirian termasuk pemilik motosikal .

"Bagi pemilik kenderaan persendirian yang berkapasiti enjin sehingga 2000cc (kuasa kuda) serta trak pikap dan jip berkapasiti enjin sehingga 2500cc, bayaran tunai sebanyak RM625 setahun bagi setiap kenderaan akan diberikan.

"Bagi pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc, bayaran tunai sebanyak RM150 setahun bagi setiap motosikal akan diberikan," katanya.

Perdana Menteri berkata bayaran tunai ini akan diberi apabila pemilik kenderaan dan motosikal membayar atau memperbaharui lesen kenderaan bermotor iaitu cukai jalan.

Katanya bayaran ini meliputi kenderaan dengan cukai jalan yang berkuatkuasa mulai 1 April 2008 hingga 31 Mac 2009.”

[Sambungan Posting Asal]

Sengaja disebutkan bahawa pada waktu itu, kerajaan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi sangat kuat dan cukup popular kerana menang besar dalam pilihan raya umum 2004.

Tetapi akibat kegagalannya menangani masalah ekonomi, sosial dan keselamatan pada tahun-tahun berikutnya, suasana politik berubah menjadi tidak stabil, populariti Abdullah merosot dan kemampuan kerajaan menangani masalah menjadi semakin kabur.

Setelah menang besar pada tahun 2004, Abdullah mula membatalkan projek-projek era Dr Mahathir dan memperkenalkan program-programnya sendiri melalui Rancangan Malaysia Kesembilan.

Apabila RMK9 terlewat dilaksanakan dan gagal menunjukkan kesan-kesan yang ketara, Abdullah dan penasihat-penasihatnya tergesa-gesa melancarkan koridor pembangunan ekonomi di seluruh negara beberapa bulan sebelum pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Malangnya, walaupun diuar-uarkan dengan begitu hebat oleh media massa arus perdana, pelancaran koridor pembangunan itu gagal meyakinkan rakyat jelata malah mendapat kecaman pula.

Dasar dan tindak-tanduk Pentadbiran Abdullah dilihat sebagai memberi keutamaan yang melampau kepada pelabur Singapura di Wilayah Pembangunan Iskandar sehingga tercetus kebimbangan akan wujud sebuah negara de facto Singapura di bumi Johor.

Jawapan Abdullah kepada kritikan ini adalah meminda nama projek itu kepada Iskandar Malaysia.

Pentadbiran Abdullah membatal atau menangguhkan projek-projek era Dr Mahathir atas alasan kerajaan kehabisan wang dan tidak lagi mengutamakan “mega project.”

Sebaliknya ia menguar-uarkan pelaksanaan RMK9 serta koridor pembangunan yang lebih “mega” daripada projek-projek era Dr Mahathir.

Dalam keghairahan itu, isu dan masalah harian rakyat jelata seperti kenaikan harga dan kekurangan bekalan barangan pengguna, peningkatan kadar jenayah dan pengangguran gagal ditangani dengan secukupnya.

Abdullah sendiri terkejut dan bertanya “apa sudah jadi?” apabila diberitahu oleh polis bahawa kadar jenayah terus meningkat.

Selepas pilihan raya umum 8 Mac Abdullah bertindak membersihkan tangan dengan menyerahkan jawatan Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang sangat penting dan kritikal itu kepada Syed Hamid Jaafar Albar.

Abdullah bebas daripada beban gagal menangani masalah jenayah dan Syed Hamid daripada bala gagal memperoleh kedaulatan ke atas Pedra Branca. (Bukan Pulau Batu Puteh lagi kerana hanya Malaysia memanggilnya dengan nama itu.)

Masalah Abdullah mudah sahaja. Dia bukan seorang perancang dan pengurus ekonomi. Selama pembabitannya dalam Kabinet Abdullah tidak pernah diberikan jawatan ekonomi atau kewangan.

Tetapi kelemahan itu boleh diatasi seandainya Abdullah bersedia mengemblengkan kepakaran ekonomi dan kewangan yang ada dalam Umno dan perkhidmatan awam.

Allahyarham Tun Hussein Onn juga tidak pakar dalam hal ekonomi dan kewangan. Tetapi beliau menggunakan kepakaran pemimpin Umno seperti Tengku Razaliegh Hamzah (Menteri Kewangan) dan Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdagangan dan Perindustrian).

Sebaliknya Abdullah melantik atau membawa masuk “pakar-pakar” dari luar Umno dan pentadbiran awam yang tidak ada pengalaman praktikal atau yang mempunyai agenda sendiri.

Kita tentu masih ingat iaitu apabila negara mengalami krisis ekonomi pada pertengahan tahun 1980an, Dr Mahathir membawa masuk Daim Zainuddin dan meminda beberapa syarat Dasar Ekonomi Baru untuk menarik pelaburan asing.

Ekonomi negara pulih dengan pantas dan berkembang rancak sehingga krisis kewangan Asia pada tahun 1997/98.

Apabila krisis 1997/98 berlaku, Dr Mahathir sekali lagi membawa masuk Daim dan menolak percubaan Anwar Ibrahim melaksanakan dasar ala Tabung Matawang Antarabangsa (IMF).

Walaupun Dr Mahathir sering dituduh bersikap diktator, namun dalam era beliaulah pelbagai mekanisme musyawarah dan perundingan seperti Majlis Perdagangan Malaysia (Malaysian Business Council) dan Majlis Perundingan Ekonomi Negara dan Majlis Kebangasaan Teknologi Maklumat (NCIT) ditubuhkan.

Saya tidak pasti lagi mengenai apa yang terjadi dengan sistem musyawarah dan perundingan ekonomi era Dr Mahathir itu. Yang kita tahu ialah wujudnya berpuluh-puluh Jawatankuasa Kabinet, Jawatankuasa Pemandu dan bermacam-macam lagi jawatankuasa.

Yang menjadi riuh rendah dan menimbulkan kemarahan umum sehingga Umno dan BN dihukum dengan begitu teruk oleh pengundi pada 8 Mac lalu adalah dakwaan campur tangan “Budak-Budak Tingkat 4” dan konco-konco di sekeliling Perdana Menteri dalam hal ehwal ekonomi dan perniagaan.

Jadi adalah tidak adil dan tidak tepat menuduh atau memarahi rakyat jelata dan ahli parti sebagai menyebabkan kacau-bilau dan ketidaksepaduan.

Rakyat jelata dan ahli parti, khasnya kaum majoriti Melayu, sekadar bertindak balas terhadap apa yang dilakukan atau tidak dilakukan oleh pemerintah.

Hari ini, oleh sebab kerajaan begitu lemah dan persepsi rakyat terhadapnya begitu negatif maka apa sahaja yang dilakukannya walaupun betul dan baik sekalipun akan dicurigai dan dipertikaikan.

Apatah lagi jika tindakan itu membawa keburukan kepada mereka seperti kenaikan harga dan kekurangan bekalan barangan pengguna.

Cadangan terbaru untuk menghapuskan subsidi minyak tidak dapat tidak akan memberi kesan langsung dan tidak langsung yang hebat kepada rakyat jelata dan pengguna.

Dalam konteks ini, aspek keselamatan dan kesejahteraan tidak boleh diabaikan. Kenaikan harga dan kekurangan bahan makanan berkait terus dengan isu keselamatan dan kesejahteraan.

Apatah lagi di akhir-akhir ini kita lihat ciri-ciri keingkaran sivil (civil disobedience) seperti tunjuk perasaan semakin menjadi-jadi.

Kalau pengundi Malaysia yang selama ini sangat jinak (docile) boleh menjadi begitu berani pada pilihan raya Mac lalu, kita tidak boleh menolak bulat-bulat bahawa kenaikan harga dan kekurangan bekalan tidak akan mencetuskan ketegangan.

Kita wajib berhati-hati dan berjaga-jaga. Apatah lagi slogan Barisan Nasional pada pilihan raya umum lalu adalah “Sejahtera, Aman dan Makmur.”

Akhir kata, kita perlu menerima hakikat bahawa rakyat jelata, khasnya orang Melayu, menjadi tidak bersatu atau nampak tidak bersatu kerana kerajaan yang mereka berikan mandat besar pada tahun 2004 gagal memenuhi aspirasi mereka.

Maka pada 8 Mac lalu mereka menunjukkan protes mereka secara besar-besaran dan terang-terangan. Lihatlah betapa banyaknya undi rosak yang dimasukkan ke dalam peti undi – 325,120 di seluruh negara.

Kalau pembesar Umno dan BN tidak faham lagi, jangan salahkan rakyat jelata kalau protes mereka lebih hebat mulai sekarang.

Kalau kerajaan tidak cekap menangani kemerosotan ekonomi global yang sedang melanda sekarang, negara bukan sahaja akan mengalami masalah yang teruk.

Apa yang sangat-sangat dikhuatiri adalah inflasi yang semakin meruncing sekarang akan bertukar menjadi stagflasi di mana harga pengguna melambung sedangkan pertumbuhan ekonomi menjadi semakin lembap.

Namun saya yakin para pembesar kanan Umno seperti Mohd Najib Abdul Razak, Muhyiddin Yassin, Tengku Razaleigh Hamzah dan Rais Yatim menyedari masalah ini dan mampu menanganinya jika diberikan tanggungjawab.

Minyak Naik! Naik Minyak !

Sukar sekali saya menelah apa yang akan terjadi kepada kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam masa terdekat kerana kenaikan harga minyak dan barangan lain yang tidak dapat diterima rakyat. Apapun alasanya kenaikan itu tetap membebankan dan dipandang buruk oleh rakyat. Apa lagi kenaikan itu begitu tinggi iaitu kira-kira satu pertiga dari harga minyak sebelumnya.

Barangkali ini telah ditentukan Allah dan barangkali inilah kesilapan dan penyebab tenure Abdullah akan berakhir.

Kenaikan harga minyak yang tidak diduga tingginya dan pada timing yang tidak begitu tepat hanya mencerminkan ketidakbijakan pentadbiran negara dalam menguruskan masalah yang tentunya sentiasa terus datang dari semasa ke semasa. Problem solving atau pendekatan menyelesasikan masalah secara lebih bijak diharapkan rakyat dari sesebuah kerajaan yang berwibawa, apapun masalahnya.

Tentulah ramai, termasuk ahli dan pemimpin UMNO disemua peringkat yang terkena dengan kenaikan mendadak ini. Ramai yang akan naik minyak kerana harga minyak yang naik itu.

Naik minyak ahli-ahli UMNO dan orang ramai boleh membawa kepada kemungkinan yang pelbagai.