Tuesday 28 July 2009

Kaki dalam kasut

Tun Dr Mahathir Mohamad (http://chedet.co.cc)

1.
Di forum anjuran Gempita dan UMNO bertajuk Kedudukan Raja-Raja Melayu dan Orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia di Zaman Liberalisasi dan Globalisasi, saya ditanya oleh seorang pensyarah Melayu dari UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) apakah saya pernah fikir untuk meletak diri saya di tempat orang bukan Melayu (put yourself in the shoes of a non-Malay) bersabit dengan diskriminasi terhadap mereka di negara ini.


2. Saya percaya penyoal berpendapat orang bukan Melayu berasa amat tertekan dan kecewa dengan "ketidakadilan" terhadap mereka di Malaysia (oleh Kerajaan yang dikuasai oleh orang Melayu).


3. Saya tidak tahu samada penyoal ini pernah bertanya kepada tokoh bukan Melayu soalan yang sama iaitu perasaan orang Melayu akan keadaan di negara nenek moyang mereka yang mereka sudah jadi kaum yang secara relatif termiskin dan masih ketinggalan.



4. Jika beliau bertanya dan tokoh tersebut menjawab secara ikhlas, beliau akan dapati bahawa orang Melayu amat kecewa dengan kemiskinan relatif mereka sehingga terpaksa meminta-minta sepanjang masa dan juga ketinggalan dalam pelbagai bidang.


5. Mereka cuba yakin mereka adalah tuan di negara mereka tetapi mereka tahu sebenarnya mereka bukan tuan. Orang bukan Melayu yang menjadi tuan yang sebenar.


6. Kerana mereka rela berkongsi negara mereka dengan kaum lain, kaum yang berasal dari tamadun yang lebih tua (4,000 tahun) dan lebih berjaya, hari ini yang sedikit yang ada pada mereka pun hendak dipisah dari mereka.


7. Fikirkan hanya berkenaan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Agihan kekayaan korporat dalam DEB ialah sebanyak 30% bagi bumiputra (walaupun mereka adalah 60% dari penduduk) dan 40% bagi kaum lain serta 30% bagi orang luar. Tetapi setelah diusahakan selama 39 tahun bahagian yang terdapat bagi mereka ialah 20%, sedangkan yang terdapat bagi kaum lain ialah hampir 50%, walaupun mereka hanya 26% dari jumlah penduduk.


8. Nilai harta milik bumiputra pula berjumlah 15% sedangkan yang baki dimiliki oleh bukan bumiputra disebabkan harta di bandar bernilai lebih tinggi dari di luar bandar.


9. Tokoh bukan Melayu yang cuba duduki tempat Melayu (in the shoes of the Malays) jika ikhlas, akan rasa kekecewaan Melayu melihat hampir semua perniagaan dan perusahaan serta kekayaan yang diperolehi darinya dimiliki oleh bukan Melayu. Segala estet rumah mewah juga diduduki oleh bukan Melayu. Sikit benar orang Melayu yang tinggal di estat mewah ini. Lebih ramai yang tinggal di kawasan setinggan.


10. Mungkin semua ini disebabkan kesalahan orang Melayu sendiri. Mereka tidak guna peluang yang disediakan bagi mereka. Ada yang salahguna peluang-peluang ini pun. Tetapi jika seorang pengayuh beca diberi sejuta Ringgit, apakah ia akan dapat berniaga dan berjaya dalam bidang ini.


11. Social engineering bukan hanya dilakukan oleh orang Melayu sahaja. Sosialisme dan Komunisme juga merupakan sejenis social engineering untuk mengurang atau menghapus jurang antara yang miskin dengan yang kaya. Mereka juga tidak berjaya sepenuhnya walaupun mereka mengguna kekerasan yang dahsyat. DEB dilaksanakan dengan berhati-hati tanpa kekerasan, tanpa rampasan dan sering dipinda apabila menghadapi tentangan dari bukan Melayu. Apakah persepsi orang Melayu terhadap DEB?


12. Lihat sahaja sejarah perjuangan Melayu. Pada Pilihanraya 1955, diwaktu mereka menguasai 82% dari kawasan-kawasan pilihanraya, mereka rela memberi sejumlah yang tidak kecil dari kawasan - kawasan mereka kepada kaum lain dan mengundi calon dari kaum-kaum ini sehingga menang melawan calon Melayu lain (PAS).


13. Kemudian mereka anugerahkan satu juta kerakyatan tanpa syarat biasa kepada kaum lain sehingga peratusan rakyat Melayu jatuh dari 82% kepada 60%. Siapakah yang lain yang pernah lakukan yang sedemikian?


14. Pada ketika itu nama rasmi negara ialah Persekutuan Tanah Melayu. Apabila Semenanjung Tanah Melayu dicantum dengan Singapura, Sarawak dan Sabah, perkataan "Tanah Melayu" digugur dan cantuman negeri - negeri ini dinamakan Malaysia. Dengan itu hilanglah identiti Melayu dalam nama negara sendiri. Tidak pula mereka tuntut nama-nama lain digugur.


15. Tidak seperti di negara-negara yang membenar hanya bahasa kebangsaan mereka sahaja untuk semua sekolah nasional, orang Melayu bersetuju bahasa Cina dan Tamil dijadikan bahasa pengantar di sekolah bantuan Kerajaan. Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) tidak menjadi bahasa kebangsaan seperti di negara-negara jiran dan di Eropah, Australia dan Amerika.


16. Dan banyaklah lagi korban yang dibuat oleh orang Melayu supaya kaum lain mendapat apa sahaja yang dituntut oleh mereka, demi keamanan dan perpaduan rakyat dan negara.


17. Apakah gamaknya perasaan tokoh yang meletak diri di tempat orang Melayu, terhadap semua korban ini? Apakah dia masih fikir yang orang Melayu harus korban segala-gala yang dituntut daripada mereka?


18. Dengan rencana ini saya tetap akan di cap sebagai racist oleh racist bukan Melayu. Tetapi kalau mereka sanggup menerima yang benar, mereka boleh banding korban orang Melayu pemilik asal negara ini dengan korban mereka untuk kepentingan negara ini.


19. Saya berpendapat jika negara ini hendak aman dan maju, agihan kekayaan dan kualiti hidup semua kaum hendaklah adil (fair) walaupun tidak sama (unequal). Janganlah hendaknya mana-mana pihak atau kaum tanggung beban kemiskinan yang keterlaluan, sementara kaum lain hidup mewah. Mengumpan sokongan dengan mengambil hak satu kaum untuk diberi kepada kaum lain bukanlah caranya - lebih-lebih lagi mengambil dari yang kurang berada untuk diberi kepada yang sudah lebih berada.

Saturday 25 July 2009

UMNO itu asalnya "Ngo-Ngo" Melayu

HARI ini ramai orang mengutuk UMNO, terutama orang yang tak suka tengok Melayu kuat. Kumpulan yang tak suka UMNO atau Melayu kuat mahu menjadikan Melayu minoriti di negara ini dengan cara memecah belahkan orang Melayu.

Pada fikiran saya UMNO patut balik kepada asas penubuhannya. Selain dari memperkukuhkan perpaduan di dalam UMNO barangkali ada keperluan untuk UMNO membawa semua persatuan dan NGO Melayu bersamanya, mungkin dengan cara melantik wakil setiap persatuan dan NGO Melayu duduk di dalamnya. Kalau tidakpun di dalam majlis tertinggi, mungkin dalam sebuah jawatankuasa/biro khas, sebab UMNO itu sendiri lahir dari gabungan persatuan-persatuan Melayu. Gabungan inilah tunjang kepada kekuatan Melayu..Saya yakin kalau Ngo-Ngo Melayu bersama UMNO Melayu akan kembali kuat sepertimana ketika UMNO baru-baru ditubuhkan itu. Apakah UMNO masih berupa gabungan itu ?

Friday 24 July 2009

Festival Filem Malaysia ke22 di Sabah apa faedahnya ?

FESTIVAL Filem Malaysia kali yang ke 22 akan diadakan di Kota Kinabalu 5 - 9 Ogos ini. Usaha ini baik - boleh merapatkan kesatuan rakyat Malaysia dalam bidang perfileman. Tapi ada seorang produser yang tak mau menyertai festival tersebut memberitau saya "tapi kenalah ada program yang melibatkan orang Sabah, kalau tidak tak gunalah datang ke situ". Saya tanya dia apa maknanya festival? festival adalah festival lah. Ia terbuka kepada penyertaan orang ramai. Tujuan festival diadakan di Sabah ialah untuk membolehkan orang Sabah mengambil bahagian.

Kalau begitu kata dia buat apa adakan program seperti "Bintang Lagenda". Siapa nak kita lagendakan lagi, kata dia. Balik-balik nak tonjolkan orang vateran yang kebanyakannya dah tak larat. Dah tiap-tiap tahun dari festival pertama dulu orang vateran ditatang-tatang sampai dah tak ada siapa lagi yang nak digelar vateran . Tak ada benda lain lagi ke?.

Saya beritau dia bukan itu sahaja program festival. Macam-macam program telah diatur. Program bercorak keilmuan seperti apresiasi filem dan seminar akan juga diadakan. Sempena festival itu saya sendiri pun akan mengadakan syarahan bertajuk "Cabaran Membina Sinema Nasional Malaysia" di Sekolah Seni Universiti Malaysia Sabah, pada pukul 3.00petang 6 Ogos 2009. Wacana itu inisiatif sekolah seni tersebut dan saya sendiri. Saya percaya tentu banyak yang akan dapat diperkatakan dalam wacana seperti itu.

Memang penting bagi Sabah dan Sarawak memainkan peranan dalam mengukuhkan industri filem Malaysia lebih-lebih lagi negeri-negeri tersebut kaya dengan pelbagai sumber dan bakat yang boleh memperteguhkan industri filem kita.