Friday 28 October 2011

SEPULUH TAHUN DARI SEKARANG BAHASA MELAYU BOLEH MENJADI BAHASA UTAMA DI NEGARA INI

INSTITUT KESENIAN DAN KAJIAN MEDIA MALAYSIA (SEMESTA) menyeru kerajaan terus melaksanakan program “MEMERTABATKAN BAHASA MELAYU DAN MEMPERKASAKAN BAHASA INGGERIS” di sekolah, dan melalui agensi-agensi kerajaan di seluruh Negara seperti yang dirancang, tanpa membuat sebarang perubahan yang mungkin boleh menjejaskan matlamatnya.

Berdasarkan kajian institut ini, landasan yang telah tersedia selama ini sama ada melalui undang-undang dan peraturan sedia ada, dan kaedah pembelajaran di sekolah rendah, menengah dan IPT, telah mencukupi untuk menjadikan bahasa itu bahasa kebangsaan dalam erti kata yang sebenarnya.

Keadaan ini juga boleh dengan cepat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang setara dengan bahasa-bahasa ilmu yang lain di dunia.

Menurut kajian Semesta masa selama sepuluh tahun sahaja diperlukan untuk menjadikan bahasa ini bahasa utama, di Negara ini.

-Presiden Semesta-

BAHASA TIDAK MENUNJUKKAN BANGSA ?

PEPATAH Melayu “Bahasa menunjukkan bangsa” mungkin tidak pernah didengari kebanyakan Melayu hari ini.  Ia sangat jarang disebut oleh orang zaman ini. Barangkali kerana pepatah tidak membawa apa-apa makna kepada keperluan kehidupan.

Pepatah bukan barang mewah, bukan barang yang mengenyangkan perut. Pepatah juga bukan gambar bergerak yang memukau. Lantas bahasa menunjukkan bangsa itu ada tidak ada tidak menjadi hal.

Tetapi, tahukah kita pepatah tersebut sebenarnya adalah laungan tidak berbunyi, laungan yang besar yang mengingatkan kita tentang tanda hadirnya kita di muka bumi ini. Apa lagi kalau pepatah itu bermaksud kita sebagai suatu bangsa, suatu tamaddun, suatu peradaban.  

Apabila negara mencapai kemerdekaan Bahasa Melayu diangkat secara rasmi sebagai bahasa kebangsaan. Seluruh rakyat menerimanya, kerana sememangnya bahasa tersebut bahasa yang sudah di’kebangsaan’kan oleh masyarakat sejak dari zaman kerajaan Melayu Melaka atau sebelum daripada itu. Bahasa Melayu juga sudah menjadi bahasa serantau yang digunakan oleh 200 juta rakyat Nusantara. Mungkin ungkapan Nusantara pun ramai Melayu yang tak pernah dengar.

Tidak ada bahasa lain yang luas penggunaannya di negara ini, dan di rantau sebelah sini, walaupun bahasa Inggeris yang dikatakan utama dan penting itu, sekalipun.

Sebagai sebuah Negara, Malaysia misalnya perlu bergantung kepada mekanisme tertentu untuk mengukuhkan jatidiri, kesatuan dan nilai negara-bangsa rakyatnya. Dasar tertentu yang menjurus kepada pembinaan negara-bangsa perlu dilaksana dan diberi keutamaan. Penekanan ini menjadi lebih penting apabila keadaan masyarakat negara ini merupakan masyarakat majmuk yang masing-masing mau kedudukan kelompok mereka diutamakan.  

Malangnya kelompok (kaum) masyarakat ini begitu berasingan kerana mereka bukan sahaja berlainan bangsa, berlainan bahasa, berlainan agama, kepercayaan dan adat resam, tetapi juga berlainan keinginan, dan keinginan tersebut selalu kelihatan sebagai bertentangan antara satu dengan lain.

Masing-masing kaum masih terus mau menjadi diri mereka dan hidup sepenuhnya dalam keadaan mereka yang tersendiri.

Satu-satunya mekanisme yang ada dan boleh digunakan  sebagai titik pertemuan mereka ialah melalui ”bahasa” yang boleh difahami dan digunakan bersama. Bahasa ini ialah bahasa kebangsaan. Tidak ada bahagian lain dalam kehidupan mereka boleh digunakan untuk menemui dan menyatukan mereka dalam erti kata yang sebenaranya.

Tetapi, malangnya walaupun negara telah merdeka selama 54 tahun usaha pengukuhan kesatuan rakyat bagi pembinaan negara-bangsa dengan melalui bahasa kebangsaan tidak memperlihatkan kemajuan. Terlalu banyak perkiraan politik sebagai penghalang kepada usaha ini.

Suatu perkara yang amat menggusarkan walaupun generasi hari ini sebahagian besarnya merupakan generasi kelahiran selepas merdeka, dan semuanya merupakan anak kelahiran Malaysia, persoalan perbezaan kaum masih tidak selesai. Malah antara satu kaum dengan yang lain wujud semacam kecurigaan, dan rasa tidak mahu melihat kaum yang lain mendapat peluang lebih, begitu meluas.  

Dari sudut inisentimen perkauman sebenarnya lebih buruk daripada sebelum negara mencapai kemerdekaan.  

Keadaan ini terjadi kerana kegagalan kita membina generasi Malaysia sebenar melalui sistem persekolahan yang satu yang matlamatnya bukan sahaja memberi pendidikan, tetapi juga menjadikan mereka rakyat yang kuat cintanya terhadap negara dan bangsa.  

Kepelbagaian sepatutnya telah menjadikan kita kuat, tetapi kepelbagaian yang tidak dijaring oleh ikatan menyebabkan kelpagaian itu menjadi batu penghalang yang memecahbelahkan dan boleh menghancurkan negara.

Langkah kerajaan menambahbaik pembelajaran di sekolah yang memberi penekanan terhadap pembinaan negara-bangsa melalui pendekatan ”Memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkasakan Bahasa Inggeris” (MBMMBI) sebagai ganti kepada konsep pembelajaran bahasa Inggeris bagi matapelajaran sains dan matematik (PPSMI), adalah langkah yang sangat baik dan tepat. Walaupun terlewat 54 tahun tetapi ianya masih dianggap sebagai langkah yang tepat.

Matalamat MBMMBMI adalah menghasilkan kesan menyeluruh di semua sekolah seluruh negara. Dalam bahasa mudah sekolah akan menjadi tempat melahirkan generasi yang fasih dan cinta dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan  disamping mereka juga mahir dalam bahasa Inggeris.

Program membina generasi yang seragam ini bukan hanya bertumpu kepada mereka yang mengambil sains dan matematik sahaja. Negara memerlukan lebih dari kebolehan sains dan matematik untuk menjadi teguh dan dihormati.

Seseorang yang baik penguasaan bahasa Melayu dan Inggerisnya tentu tidak menghadapi masalah dengan bidang sains, teknologi dan inovasi, sekiranya ia diperlukan membuat ujikaji dan rujukan lanjutan kerana pemahamannya lebih mendalam.

Pada hari ini di universiti di seluruh negara pelajar tempatan yang membuat pengajian lanjut termasuk dalam bidang perubatan, kejuruteraan, sains kesihatan, fizik, kimia, perakaunan, kajian angkasa lepas tidak menghadapi masalah dalam pembelajaran mereka, walaupun sumber rujukan persuratan mereka adalah dalam bahasa Inggeris.

Sebagai sebuah negara yang patut diutamakan oleh sebuah kerajaan ialah pembinaan negara-bangsa dan upaya rakyatnya.  

Mempelajari sains dan matematik dalam bahasa kebangsaan bukan sahaja boleh meningkatkan pemahaman dan penguasaan ilmu dalam bidang berkenaan oleh anak-anak tempatan, tetapi juga dapat meningkatkan nilai keilmuan bahasa tersebut, sekaligus bahasa tersebut berkembang dan boleh menarik minat masyarakat luar mempelajarinya.

Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendakwa kajiannya mendapati  55 peratus ibu bapa mahu anak mereka belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Ini juga bermakna kira-kira 50% ibu bapa mahu PPSMI ditiadakan.

Peratusan tersebut sekiranya benar, bukanlah peratusan yang besar sehingga perlu dirombak dasar baru yang telah digubal, iaitu dasar yang mengambil kira rekod prestasi, kedudukan sekolah, pencapaian murid dan lain-lain. Kalaupun data yang berkenaan diperolehi dengan sangat berwibawa saya kira ianya hanya sesuai untuk diambil kira bagi penambahbaikan dan pengukuhan pelaksanan MBMMBI itu.

Apatah lagi dapatan kajian tersebut juga tidak boleh dirujuk sebagai utama kerana ia adalah hasil kajian terhadap ibu bapa semata-mata.    

Saya yakin penyelidikan melalui ujian keatas pelajar, guru, sekolah, kedudukan sekolah dan peralatan pembelajaran adalah lebih tepat berbanding penyelidikan keatas ibu bapa sahaja.   

Yang menjadi pertanyaan ialah mengapakah sebuah badan yang dikatakan mewakili orang  atau kumpulan yang mahu melebarkan  jaringan Melayu membantah program yang mahu memperkasakan Melayu melalu bahasa dan budayanya.

Bagaimanakah badan ini mahu menjaringkan bangsanya kalau ia tidak didahului oleh budaya fikir dan bahasa bangsa itu? Ini sangat mengelirukan.

Dalam perkara ini sebenarnya Melayu tidak perlu menjadi bangsa lain untuk menjadi besar. Melayu yang besar adalah Melayu yang membawa bersamanya khazanah dan warisan kebesarannya sepanjang zaman. Bahasanya yang dimajukan adalah alat yang boleh menjadikan bangsa Melayu itu besar jaringannya.

JMM sepatutnya menumpukan bagaimana mahu menjaringkan bahasa, khazanah dan warisan Melayu  di daerah yang lebih luas. Kesilapan 54 tahun tidak sewajarnya dibiarkan menghalang usaha membina kekuatan masa hadapan. Jangan kita tunggu 54 tahun lagi untuk mengetahui betapa silapnya kita memilih keutamaan. Bahasa menunjukkan bangsa

(Mahadi J Murat ialah Presiden Institut Kesenian dan kajian Media Malaysia, pensyarah kanan / bekas pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya & Universiti Teknologi Mara dan Ahli Jawatankuasa Akreditasi Majlis Kelayakan Malaysia (MQA)