Friday, 3 October 2008

Hari Raya dan Masjid

TENGAH malam 1 Syawal 1429H bersamaan 1 Oktober 2008 saya antara orang yang beratur di sepanjang kira-kira 100 meter di warung menjual lemang dan ‘rendang tok’ di tepi jalan Hulu Klang bersebelahan dengan Zoo Negara dan Kompleks Studio Merdeka. Jalan Hulu Klang “macet” kata orang Jakarta. Jamm, kata orang Kuala Lumpur kerana kereta-kereta diparker semaunya di kiri kanan jalan akibat mengejar juadah untuk makan di pagi raya.


2. Hampir setengah jam lamanya saya menunggu giliran untuk mendapatkan tiga batang lemang, lima biji ketupat nasi, semangkuk kecil sambal kacang, setengah plastik kecil serunding daging dan kira-kira dua piring cawan rendang tok di warung yang saya kira sangat popular itu. Saya membayar RM76/- untuk semuanya. Mahal. Tetapi itulah harga yang terpaksa dibayar oleh orang seperti saya yang hanya tahu makan . Sebelum beratur di Hulu Klang itu saya telah beratur menunggu giliran mendapatkan 100 cocok satay dari restoran satay Kajang Haji Samuri di Taman Melati. Apa yang hendak saya timbulkan di sini bukanlah soal makanan kesukaan saya yang sangat mahal itu kini, tetapi suatu perkara lain yang menarik perhatian saya dalam menunggu itu.

3. Saya perhatikan dari deretan orang yang sentiasa bertambah itu tidak kurang pembeli dari kaum Cina yang memasan satay di restoran Hj Samuri untuk dibawa pulang dan untuk makan di situ. Ini perkara biasa sebenarnya. Restoran-restoran satay Hj Samuri memang dikunjungi pelbagai bangsa. Hj Samuri di luar sedar telah menjadi agen "pemajmukan" masyarakat tanpa banyak politik. Di tempat menjual lemang dan rendang tok juga saya lihat tidak kurang ramainya kaum lain yang turut berbaris membeli lemang, rendang dan ketupat seperti mereka juga yang akan berhari raya. Keadaannya amat harmoni sekali. Saya simpulkan warung lemang ini juga adalah agen pemajmukan masyarakat kita yang penting. Penerimaan kaum lain terhadap budaya pemakanan Melayu sebenarnya mudah. Ia terjadi dengan sendirinya kerana rasa kepunyaan yang sama-sama dirasai di kalangan masyarakat.


4. Esoknya di pagi raya saya dan isteri telah menunaikan solat sunat aidilfitri di Masjid Taman Melawati tidak jauh dari kediaman kami. Selepas solat dan menjamu selera dengan satay, ketupat, lemang dan rendang yang saya beli malamnya, saya dan keluarga terus berkereta ke Besut, Terengganu melalui Kuantan, Kuala Brang dan Kuala Terengganu, untuk berhariraya bersama keluarga isteri saya di sana. Di Besut seperti di tempat-tempat lain cerita politik dan ekonomi tidak terlepas daripada perbualan sanak saudara dan rakan taulan yang datang berkunjung. Lebih-lebih lagi bagi orang Kuala Lumpur.


5. Saya bertanya seorang biras saya yang kebetulan menjadi naib presiden kanan sebuah syarikat kerajaan (GLC) di Kuala Lumpur, tentang pandangan beliau terhadap desakan parti-parti komponan BN yang mendesak kerajaan melantik lebih ramai kaum bukan Melayu menerajui GLC. Biras saya ini hanya tersenyum sahaja, tetapi bersetuju dengan saya bahawa kita belum memenafaatkan sepenuhnya sumber dan kedudukan kita sebagai orang Melayu peneraju pentadbiran dalam kerajaan dan badan-badan penting yang startegik.


6. Perbualan kami menyentuh pelbagai perkara hingga kepada bagaimana masjid boleh memainkan peranan sebagai agen perpaduan dan pengukuhan bangsa. Kami bersetuju masjidlah satu-satunya entiti sedia ada yang boleh digerakkan dengan mudah untuk membina keutuhan Negara. Betapa tidak, kalau masjid boleh antara lain menjadi pusat yang menjaga kebajikan semua golongan masyarakat termasuk bukan Islam di setiap negeri, daerah dan kawasan, tentulah masjid akan dilihat dan didekati sebagai tempat yang membantu kehidupan masyarakat. Masjid, malah surau yang banyak dan berselerak di seluruh pelusuk negara boleh merubah wajah dan bentuk perhubungan masyarakat dan kaum dinegara ini dengan cepat dan amat berkesan sekali.

7. Selain memberi bantuan di musim raya misalnya, mesjid juga boleh memberi bantuan makanan, pakaian, buku sekolah dan wang ringgit kepada golongan miskin bukan Islam di kawasan masing-masing. Bantuan-bantuan lain seperti perubatan dan kaunseling misalnya dan program-program berkaitan kekeluargaan boleh menyusul kemudiannya dan ini tentulah akan menjadikan Islam sebagai agama persaudaraan yang disenangi dan diterima baik oleh masyarakat bukan Islam.


8. Hari ke tiga di Besut, saya bersolat Jumaat di masjid An-Naim, di Alor Jejawi, Kuala Besut. Masjid ini walaupun tidak begitu besar, tetapi cukup membuat kita merasa berada dalam suasana persaudaraan yang akrab, apa lagi dengan keadaannya yang bersih dan cantik. Saya kemudian membawa ibu mertua saya ke sebuah majlis kenduri kahwin, dan menjamu selera dengan 'gulai kawah' yang menjadi kegemaran saya. Melalui sebatang jalan dalam kampong ketika pulang dari majlis khenduri kahwin itu hati saya tiba-tiba digamit kesedihan. Saya tiba-tiba teringatkan arwah ayah mertua saya yang begitu dekat di hati saya apabila melintasi sebuah surau yang diwakafkannya semasa hayatnya untuk kegunaan orang ramai di kampung Alor Pisang, di Kuala Besut.

9. Sejak hari raya pertama hingga semalam saya telah menerima tidak kurang dari 800 SMS daripada kawan-kawan di seluruh negara, termasuk Yasmin Ahmad yang sedang berada di Pusan Korea Selatan dan Syed Azidi (kickdefella), yang ditahan ISA dalam bulan Ramadhan lalu, serta beberapa orang pengarah filem dan drama swasta yang sudah lama tak ada kerja.

10. Begitulah kehidupan kita yang sentiasa diwarnai pelbagai rasa dan debaran yang tambah menjadikan kita manusia, selayaknya.

11. Semoga hari baik bulan baik ini, yang sewajarnya telah mendekatkan kita semua dengan masjid dapat membina lembaran baru dalam kehidupan kita sebagai umat Islam yang ingin mendapatkan kembali diri kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir Batin

0 comments: