skip to main |
skip to sidebar
Beberapa orang kawan menelefon menanya pandangan saya mengenai penubuhan "Creative Content Industry Guild".
Sebagai seorang yang telah bergiat sebagai karyawan dalam bidang penerbitan filem dan televisyen dengan sedikit sebanyak pencapaian, iaitu telah merasai pahit manis berkerjaya sebagai independent practitioner dalam tempuh yang agak lama; dan sebagai seorang yang telah terlibat sebagai pensyarah di kolej dan beberapa universiti menyelia, mengajar, menjalankan penyelidikan dan memperkatakan pelbagai aspek yang berkaitan dengan filem dan perfileman di dalam dan di luar negara; dan, sebagai seorang yang pernah terlibat mengasaskan persatuan perfileman, memimpin beberapa persatuan dan badan gabungan yang sedia ada, saya rasa yang diperlukan hari ini ialah 'idea' dan 'aktiviti' yang boleh menjana kemajuan profesionalisme setiap mereka yang bergiat secara sepenuh masa di dalam industri kita.
Tak kiralah guild atau persatuan apa pun yang ingin kita "hidup" atau "matikan". Tapi yang hidup itu biarlah memenuhi objektif yang jelas dan dapat benar-benar memainkan peranan membangun manusia yang bernaung di bawahnya. Bila saya sebut membangun manusia saya tidak bermaksud tentang kebajikannya (sahaja). Saya lebih memilih memabangun profesionalisme dari untuk kebajikan semata. Kerana apabila seseorang itu upaya profesionalismenya tinggi dia akan dapat meningkatkan pendapatan dirinya dan berjaya mengurus kewangan dan masa hadapannya dengan lebih baik.
Apa yang menjadi kerisauan saya ialah apakah kita begitu jelas dengan apa yang kita mahukan. Andaikata kita mahukan guild baru ini menjadi guild tunggal mengakreditasi semua individu yang terlibat dalam pelbagai sektor, dan dalam pelbagai jenis kerja yang ada disetiap sektor, berupayakah kita menggariskan suatu standard sebagai kayu pengukur bagi semua bidang kerjaya dan cabang sektor yang pelbagai itu. Dan sekiranya berjaya, matlamatnya apa.
Saya kira usaha menetapkan standard bagi setiap sektor pekerjaan bidang ini niatnya bagus. Kerana apabila semua orang mempunyai standard profesionalisme yang diiktiraf kita akan dapat menghasilkan produks atau karya yang pada umumnya baik, dan secara tidak langsung ia menyemarakkan industri dan pendapatan manusia yang berada didalamnya. Tetapi, kalau itu tujuannya tidakkah persatuan-persatuan perfileman yang sedia ada misalnya sudah memadai digunakan untuk tujuan pengakreditasian (memberi ukuran standard) ini. Tidakkah konsep 'padu citra" (yang pada asalnya dipanggil 'izin produksi') yang sedang dilaksanakan Finas sekarang yang mensyaratkan penerbit, pengarah, pekerja filem dan pelakon perlu terdiri dari ahli persatuan sedang melaksanakan tugas ini?
Secara peribadi saya rasa persatuan-persatuan sedia ada adalah 'guild' yang dimaksudkan itu. Guild ialah perkataan dalam bahasa Inggeris yang bermaksud persatuan atau badan dalam bahasa Melayu. Persatuan-persatuan perfileman kita seperti Film Directors' Association of Malaysia (FDAM), atau Persatuan Pengeluar Filem Malaysia misalnya sama sahaja namanya dengan American Society of Cinematographers (ASC), Film Producers's Association of America dan lain-lain. Di Malaysia GAFIM ialah Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia dan nama yang didaftarkan dalam bahasa Inggeris bagi GAFIM ialah Federation of Screen Guilds. Gafim bukan ditubuhkan untuk menguruskan festival filem sahaja. Gafim adalah badan gabungan untuk industri filem dan segala perkara yang berkaitan dengan kegiatan industri filem di Malaysia.
Saya rasa Gafim dan persatuan-persatuan yang sedia ada itu perlu dimantapkan dan diperkemaskan perlembagaannya agar fokus, hala tuju dan peranannya jelas. Masalah yang ada hari ini bukan persatuan-persataun, tetapi manusia yang berada di dalamnya yang barangkali perlu lebih cerdik, atau perlukan idea yang bernas untuk menaungi ahli-ahlinya.
Wallhu alam..
0 comments:
Post a Comment