Kongres Permaufakatan Melayu yang diadakan di Johor Baharu baru-baru ini sebenarnya adalah pertemuan yang sama seperti pelbagai sidang, forum, seminar dan dialog yang diadakan di masa lalu. Ia adalah sidang dan pertemuan yang dianjurkan oleh orang-orang yang itu, yang itu juga. Biasanya setiap kali selepas berseminar, berdialog dan berkongres tidak ada apa-apa tindakan yang jelas telah diambil selain mengeluarkan kenyataan tegas dan keras disertai seruan kepada pihak itu pihak ini untuk bertindak. Ketegasan, desakan dan seruan kemudianya padam apabila keadaan menjadi sejuk dan pihak yang menjadi punca tidak lagi bercakap mengenai perkara yang dimarahi.
Kebimbangan orang Melayu sesungguhnya sememangnya real. Kedudukan Melayu dipersoalkan orang. Pemimpin-pemuka Melayu sebaliknya berantakan sesama sendiri dan lebih banyak menghabiskan masa mengatakan diri sendiri adalah betul. Bukan Melayu kini telah mendapat kedudukan politik yang "luar biasa" hebatnya. Mereka bukan sahaja menjadi penguasa di Pulau Pinang, tetapi juga "kuasa penentu" di dalam kerajaan-kerajaan negeri di Selangor dan Perak, termasuk di majlis-majlis perbandaran, tempatan dan daerah, di pelbagai jawatankuasa dan lapisan kehidupan masyarakat, kuasa pemutus dalam bidang pembangunan bandar, pembangunan luar bandar, pelajaran, kebajikan masyarakat, ekonomi dan lain-lain. Kerajaan persekutuan juga kelihatan telah merubah pendekatan dengan memberi ruang yang banyak kepada kaum bukan Melayu di semua sektor. Semua ini adalah suasana baru bagi orang Melayu yang tidak disedari oleh Melayu kebanyakan. Melayu kebanyakan masih berpendapat semuanya masih macam dulu lagi. Kebimbangan penganjur kongres Permaufakatan Melayu itu memang difahami, tetapi bimbang dan membuat resolusi sahaja tidak mencukupi. Bimbang sememangnya bagus, sebab dari rasa bimbang orang boleh berfikir mengatasi kebimbangan itu.
Keadaan ini bukan tidak disedari oleh generasi muda Melayu yang melihat segalanya dari kaca mata mereka yang berbeza. Golongan muda Melayu juga bimbang, tetapi kebimbangan mereka dirasionalkan oleh pertimbangan-pertimbangan yang berlainan daripada apa yang dihujahkan oleh pemuka-pemuka "Melayu yang tua-tua" yang menjuarai kongres dan sidang-sidang yang berkenaan. Generasi muda Melayu lebih memilih untuk bekerja dan melakukan tindakan yang competative daripada laungan bermusim di dalam-dalam dewan sahaja.
Pemuka-pemuka Melayu yang "tua tua" dan tidak berjaya melaksanakan apa yang mereka sendiri putuskan di masa lalu tidak memahami ini. Sesetengah generasi muda Melayu menganggap golongan lama ini hanya boleh bercakap tetapi tidak mempunyai kepandaian dan kapasiti untuk melakukan apa-apa.
Gapena misalnya hanya menjadi sebuah badan gabungan yang walau pun telah lanjut usianya masih tidak berjaya membangunkan alam persuratan Melayu dengan sewajarnya, sedangkan ketuanan Melayu itu boleh dibingkaskan melalui gerakan persuratan, kesusasteraan dan bahasa Melayu. Kenapa tidak diperkasakan bidang bahasa, persuratan dan pemikiran Melayu sehingga menjadi tunjang kepada ketuanan Melayu?
Sekiranya Gapena dan ahli-ahli gabungannya benar-benar serious dan komited ia tentu telah menjalankan sesuatu aktiviti atau program yang dapat memperkasakan kedudukan bahasa dan persuratan Melayu melalui pelan tindakan yang kemas, tersusun dan menyeluruh sebagai usaha untuk memelihara ketuanan Melayu. Mengharap kalangan politik yang keutamaan mereka berubah-ubah adalah ibarat memilih jalan berliku dan panjang yang tiada siapa dapat menentukan bila tibanya matlamat yang dituju, sedangkan pihak lain terus mengorak langkah mengukuhkan kedudukan mereka daripada suatu kedudukan kepada suatu kedudukan yang lain. Memperkasa dan merakyatkan persuratan Melayu dengan cara yang bijaksana adalah usaha yang boleh dijalankan oleh Gapena. Ini bukan sahaja boleh memperkukuhkan ketuanan Melayu di negara ini, malah Melayu di seluruh nusantara.
Barangkali orang-orang kanan Gapena patut melihat diri sendiri dan mula memikirkan apakah mereka patut terus mengekalkan kedudukan mereka sebagai pemimpin badan gabungan ini. Menyerahkan kepimpinan Gapena kepada gulongan baru adalah satu-satunya jalan yang boleh disumbangkan oleh pemimpin lama, demi agama, bangsa dan negara. Berwajarlah, agar kita dihormati sebelum yang kita miliki musnah oleh kesilapan langkah kita sendiri. . .
Saturday, 10 May 2008
KETUANAN MELAYU ? GAPENA JANGAN HANYA BERCAKAP ..
Posted by MAHADI J MURAT at Saturday, May 10, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment