POLITIK CINA
SAYA sebenarnya sangat-sangat ingin mengelak daripada menyentuh soal politik dalam blog ini, kerana politik kini disentuh oleh ramai pihak. Tetapi penjelasan Pak Lah tentang “UMNO bukan pembuli”, dan kenyataan Ong Ka Ting yang mendakwa “Perkongsian Kuasa Hanya Slogan” membuat saya berubah pendirian.
Pada pandangan saya politik negara selama ini telah berjalan atas asas dan pendekatan terbuka oleh UMNO, yang semenjak dari awal lagi sehingga ke hari ini telah memberi ruang yang banyak kepada sekutu-sekutunya dalam Perikatan dan Barisan.
Berdasarkan kedudukan orang Melayu sebagai penduduk majoriti di negara ini, “kerusi wakil-wakil rakyat Melayu” di parlimen dan dewan-dewan undangan negeri, termasuk di Pulau Pinang sebenarnya cukup untuk membolehkan orang Melayu membentuk kerajaan “tanpa” kerusi-kerusi tambahan dari wakil-wakil rakyat bukan Melayu.
Namun begitu, kerana negara ini telah menerima “kaum bukan Melayu” sebagai “rakyat dan warganegaranya” kaum bukan Melayu rakyat baru ini juga perlu dilibatkan dalam politik dan kerajaan di pelbagai peringkat. Ini adalah sesuatu yang wajar dan sangat bermakna kepada masa hadapan negara.
Dengan perkiraan itulah parti UMNO atau “kerajaan Melayu” telah memberi ruang kepada kaum bukan Melayu untuk sema-sama mengurus dan mentadbir negara. Ia adalah pengorbanan dan sikap memandang kehadapan yang positif bagi UMNO dan orang Melayu
Pengorbanan ini dapat diperhatikan dengan melihat berapa banyak kawasan yang berpenduduk majoriti Melayu telah diberikan kepada pemimpin-pemimpin MCA dan MIC (sebagai contoh) termasuk kepada Ong Ka Ting sendiri yang memilih kerusi selamat di Johor untuk dirinya.
Lihatlah kerusi mana yang ditandingi oleh bekas presiden MCA Ling Liong Sik, Neo Yee Pan, Samy Vellu, dan S. Subramaniam dan lain-lain. Mereka semua diberikan kerusi selamat untuk menentukan mereka dapat berada di dalam kerajaan. Semuanya atas pengorbanan UMNO dan orang Melayu.
Sekiranya UMNO tidak memberi ruang ini kepada mereka berkurangan atau tiadalah pemimpin-pemimpin tersebut di dalam kerajaan.
Mengenai “perkongsian kuasa hanya slogan” seperti yang didakwa Ka Ting, saya merasa amat pelik dengan nada suaranya itu. Nada suara yang tidak pernah kedengaran selama lebih lima belas tahun semenjak menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Dalam Negeri (1993) hingga menjadi seorang menteri dan berjawatan presiden parti, beliau dan wakil-wakil MCA yang telah diberi kuasa, tempat dan jawatan di setiap peringkat pentadbiran kerajaan dari majlis-majlis daerah hingga kepada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
Tidakkah menganggotai kerajaan pusat, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan dan menduduki pelbagai jawatankuasa yang dibentuk oleh kerajaan itu berupa kuasa yang diberi, atau yang dikongsikan kepadanya atau parti, atau kaum yang diwakilinya.
Apakah definisi kongsi kuasa itu bererti kuasa yang ada pada seorang abang diraih atau diturunkan kepada adik atau saudara mara atau kroni, baru maksud kongsi kuasa itu benar-benar terjadi?
Patutlah ahli-ahli MCA menolak adik beliau Ong Ka Chuan yang beliau lantik sebagai Setiausaha Agong MCA, dan kemudian bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden, dan kemudiannya kalah.
Tahniah MCA.
0 comments:
Post a Comment