Sunday, 16 November 2008

Matematik dan sains Melayu lebih bagus!

HISHAMUDDIN Tun Hussein,
menteri pelajaran nampak tak berani bertegas tentang sama ada hendak meneruskan atau kembalikan semula medium pembelajaran matematik dan sains dari bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu.

Ini mudah dimengertikan kerana YB Menteri Pelajaran itu akan menghadapi ahli-ahli UMNO yang akan mengundi beliau sebagai naib presiden UMNO nanti. Beliau perlu bijak berkira. Kalangan perwakilan dari seluruh negara kebanyakannya adalah terdiri dari kalangan guru atau dari kalangan yang "amat Melayu" jenisnya (mungkin ini jugalah sebabnya beliau mendapat pencalonan terbanyak), Beliau memilih menggunakan "sidang meja bulat" untuk menunjukan suatu proses mendalam telah dibuat sebelum "keputusan mengekalkan penggunaan bahasa Inggeris diambil". Adalah nanti alasan yang akan dikeluarkan oleh meja bulat itu tentang kenapa ketetapan "kekal bahasa Inggeris" diambil, dan barangkali adalah juga idea dan program tambahan tentang bagaimana pembelajaran bahasa Melayu telah cukup dan dijamin terus mantap. Semuanya boleh dirasionalkan dan boleh menyakinkan perwakilan yang akan mengundi nanti: Bahawa walau apapun keputusan diambil kepentingan Melayu tetap teratas. Itulah pendapat kebanyakan pemerhati yang boleh saya rumuskan.

Saya sendiri tidak begitu kisah dengan analogi dan analisis politik jenis ini. Semuanya barangkali betul. Seorang politikus yang baik ialah politikus yang pandai berkira-kira, "kelihatan" cerdik dan lebar senyumnya, di mana jua. Biarlah menteri kita jalankan kerja beliau sendiri dengan perkiraan apa pun. Kebijaksanaan seorang pemimpin menghadapi persekitaran politik dan melaksanakan citra bangsa dengan berkesan, walaupun dikelilingi pelbagai bentuk tekanan, itu yang lebih penting dan yang kita mahukan.

"Politics is the art of perception"
kata Chua Saw Lek yang telah terpelanting dari mainstream politik MCA, dan kini dipilih semula sebagai Timbalan Presiden parti, dengan orang yang memelantingkannya turut terpelanting sebahagian besarnya.

Sebagai non practicing politician yang perlu kebanyakan kita perhatikan ialah, apakah buruk baik yang akan berlaku sekiranya kita berbalik atau mengekalkan dasar belajar matematik dan sains di sekolah-sekolah kebangsaan kita itu.

Pada pendapat saya

  • Sekiranya pengajaran dan pembelajaran matamatik dan sains terus dijalankan dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu tidak akan berpeluang; saya ulangi tidak akan berpeluang menjadi bahasa komersial, bahasa ekonomi, bahasa dalam bidang teknologi dan bahasa yang digunakan oleh kalanagan profesional. Ini boleh membawa kepada pendapat "tak penting belajar bahasa Melayu" akan terjadi. Bahasa ini akhirnya kurang digunakan dan memungkinkannya lenyap perlahan-lahan akibat berkurangnya nilai sosial bahasa tersebut. Keadaan ini samalah juga dengan banyak bahasa-bahasa lain seperti bahasa sanskrit dan bahasa sawahili (bahasa bapa Barak Obama) yang telah lenyap dan kurang digunakan.
  • Kalau ada orang kata negara ini majoriti penduduknya Melayu dan kebanyakan rakyat boleh berbahasa Melayu, tak mungkin bahasa Melayu akan terhakis, pendapat itu tidak boleh diterima dengan begitu sahaja. Ia mungkin tidak tepat. Apabila bahasa Inggeris terus dominan di kalangan ekonomis, teknologis, bidang akademik, pentadbiran dan profesional pelbagai bidang, semua dokumen, laporan, bahan rujukan, penerbitan dan lain-lain khazanah penulisan akan dibuat dalam bahasa Inggeris. Bahasa Melayu tidak akan digunakan dan barangkali akan hanya menjadi bahasa lisan sahaja, yang kekal digunakan di kampong dan oleh golongan "bawahan" (Lihat tulisan jawi yang menjadi sumber bacaan utama dulu kini telah lenyap kerana tiada keperluan penggunaannya dalam bidang kehidupan masyarakat).Bahasa Melayu di kampong juga akan hilang apabila ia tidak digunakan lagi kerana masyarakat sesuatu tempat lebih selesa bercakap dengan dialek daerah mereka sendiri. Dalam dua generasi sahaja lagi tulisan bahasa Melayu berkemungkinan menghadapi seperti tulisan jawi dan akan lenyap.
  • Sekiranya kerajaan merasa keperluan meneruskan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris perlu diteruskan semata-mata kerana "keputusan peperiksaan UPSR telah menunjukkan peningkatan kelulusan yang lebih baik" perkara ini juga perlu difahami dengan jelas. Penilaian tentang pentingnya sesuatu mata pelajaran itu tidak seharusnya dibuat dengan menilai tahap pencapaian kelulusan semata-mata. Ini hanya berupa hasil penilaian kebolehfahaman pembelajaran semata. Yang lebih penting ialah penilaian terhadap silibus mata pelajaran yang dinilai itu sama ada berjaya atau tidak menjadikan pelajarnya "menguasai ilmu yang dipelajari" dan "dapat menjadikan mereka generasi" yang sesuai untuk bangsa dan negara dengan ciri-ciri yang diharapkan. Saya harap aspek ini turut didalami oleh sidang meja bula berkenaan.
  • Walau apa pun keputusan yang akan dibuat kelak saya berharap ada keperluan untuk kaedah, pendekatan dan format pembelajaran mata pelajaran bahasa Melayu di semua sekolah dibuat penambahbaikan. Antara aspek yang patut dipertimbangkan ialah menambah masa waktu belajar dengan kandungannya meliputi aspek lakonan, apresiasi seni dan persuratan Melayu (kaedah ini meliputi elemen seni, elemen popular dan sensasi yang akan menyerap ke dalam diri pelajar dan menjadikan mereka pengamal bahasa dan budaya yang baik sepanjang hayat). Kelulusan wajib di semua peringkat penilaian dan peperiksaan sehingga ke peringkat universiti termasuk di IPTS hendaklah disyaratkan. Bahasa ini perlu terus ditentukan menjadi bahasa utama untuk negara ini seperti yang terkandung dalam perlembagaan Malaysia.
  • Kalau Kementerian Pelajaran memutuskan berbalik semula kepada pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains kepada Bahasa Melayu, itulah yang sebaik-baiknya. Pengajaran bahasa Inggeris pula boleh diperkasakan dengan cara melipatgandakan waktu belajar dan mempelbagaikan kaedahnya. Ia tidak akan meremehkan kepentingan bahasa Inggeris di kalangan kita. Keadaan ini adalah baik untuk bahasa itu sendiri, baik untuk budaya hidup masyarakat kita, baik untuk perkembangan bangsa dalam bidang sains dan teknologi. Dan pastinya baik untuk perkiraan politik pak menteri sendiri.Wallah hu alam

0 comments: