Thursday 1 May 2008

RESOLUSI SEMINAR "KEARAH SEJUTA PENONTON FILEM MALAYSIA"

Seminar “Ke Arah Sejuta Penonton Filem Malaysia” anjuran Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik Universiti Teknologi Mara (FACT) dengan kerjasama Finas dan Balai Seni Lukis Negara yang telah diadakan pada 29 Mac 2008, bertempat di Balai Seni Lukis Negara Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur dan dihadiri oleh seramai 200 orang karyawan, sarjana, profesional, pengamal media dan pelajar telah merumuskan perkara yang berikut.

“Bahawa, usaha yang lebih bersungguh-sungguh, terancang, jelas dan terarah hendaklah diambil oleh semua pihak yang berkenaan untuk membina kedudukan industri perfileman tempatan sehingga terpapar secara jelas imej dan wajah filem nasional Malaysia – iaitu imej filem sebuah negara-bangsa yang tersebar luas di dalam dan di luar negara. Penekanan terhadap mutu, peningkatan jumlah filem dan kepenontonan pada kadar yang sejajar dengan pertumbuhan negara perlulah menjadi matlamat pembangunan filem nasional Malaysia”.

Bagi mencapai matlamat tersebut “Seminar Kearah Sejuta Penonton Filem Malaysia” mencadangkan perkara-perkara yang tersebut di bawah diambil tindakan:-

1. Perlunya suatu program dan aktiviti terancang dijalankan bagi meningkatkan apresiasi terhadap filem tempatan di kalangan masyarakat pelbagai kaum, pelbagai lapisan sosial dan pelbagai tempat di dalam negara.

2. Suatu pelan induk pembangunan filem nasional (National film development master plan) dan pelan tindakan filem nasional (National film action plan)(national film policy) hendaklah diadakan, agar semua sektor yang terlibat dengan pembangunan industri filem tempatan dapat memainkan peranan masing-masing mengikut agenda, pelan dan acuan perfileman negara. Dengan adanya master plan ini institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang banyak bilangannya dapat merancang program masing-masing selaras dengan matlamat dan pelan tindakan ini. dengan program yang khusus dan tersusun berdasarkan objektif “dasar perfileman negara”

3. Kerajaan diseru mengadakan dana bagi membiayai “filem untuk Negara”, iaitu filem-filem yang memberi penekanan terhadap aspek kandungan tempatan yang berasaskan kepada nilai seni budaya, pemikiran, falsafah hidup, dan berdasarkan sejarah, untuk menentukan konsep sinema parallel di Negara ini dapat dijayakan. Agensi kerajaan seperti Finas disaran menyediakan peruntukan untuk menerbitkan sekurang-kurangnya dua buah filem setahun (pada tiap-tiap tahun dalam rancangan Malaysia ke sembilan) dengan peruntukan purata sebanyak kira-kira RM 2 juta satu filem diadakan. Filem-filem ini adalah filem yang memenuhi definasi nasional untuk menyemarakan perhatian masyarakat dan negara terhadap filem nasional Malaysia.

4. Tahun 2020 hendaklah dijadikan tarikh matlamat sasaran penting bagi menjayakan agenda filem nasional Malaysia. Antara matlamat yang patut disasarkan ialah Filem Malaysia misalannya mengisi sekurang-kurangnya 30 peratus filem di pawagam dan 80 peratus di stesen-stesen televisyen tempatan.

5. Lebih banyak pawagam dibina, terutama di kawasan-kawasan bandar kedua (secondary town) yang penduduknya terdiri daripada masyarakat Melayu. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) patut menimbangkan pembinaan pawagam-pawagam ini sebagai sumbangan dan pelaburan mereka sama seperti menyediakan taman dan kemudahan rekreasi, dewan orang ramai, perpustakaan, pusat sukan, food courts dan lain-lain. Dewan pawagam ini juga boleh menjadi dewan pelbagai guna untuk aktiviti lain sekiranya tiada filem tempatan ditayangkan. Inisiatif untuk penubuhan pawagam ini patut diselaraskan oleh pihak Finas.

6. Pembinaan sebanyak 1,000 bill boards di tempat-tempat strategic yang dikhaskan untuk filem tempatan di seluruh lembah kelang perlu dilakukan oleh pihak Dewan Bandaraya/Majlis Bandaran/Majlis Tempatan yang berkenaan. Pembinaan oleh pihak berkuasa tempatan ini wajar kerana PBT ialah pihak yang mendapat keuntungan dari cukai atau duti hiburan yang dipungut di pawagam-pawagam. Adalah dianggarkan sekurang-kurangnya 50,000 bill boards pelbagai saiz untuk pelbagai produk commercial telah di bangunkan di seluruh lembah klang yang telah menguntungkan pihak PBT pada masa ini.

7. Kerajaan diseru menambah jumlah dana pinjaman filem cereka yang sedia ada daripada RM50 juta kepada 100juta sebagai fasiliti kewangan untuk membantu penerbit dan pengusaha filem secara commercial membangunkan perniagaan mereka.

8. Finas khasnya diseru menyediakan pelan tindakan bagi mengangkat industri filem tempatan agar setara dengan kemajuan yang dicapai negara serantau lain seperti Thailand, Filipina, Indonesia, Vietnam dan Singapura. Malaysia pada masa ini berada di belakang negara-negara tersebut dalam kontek penjanaan industri. Bagi menjayakan cadangan ini disarankan Finas melakukan kajian semula (review)merittrack record serta pencapaian yang jelas hendaklah digunakan dalam membantu Finas menjayakan objektifnya (Nota: Pada masa ini diperakui program-program yang dijalankan Finas sebahagian besarnya adalah baik dan tepat, tetapi pelaksanaan dan kaedah penyampaianya dianggap lemah oleh pengamal industri). kaedah dan pendekatan pelaksanaan program-program pembangunan yang dijalankanya. Pegawai dan mereka yang terlibat dengan sesuatu program perlulah terdiri daripada mereka yang mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang tugas masing-masing. Orang-orang industri yang mempunyai dan

9. Institusi media disaran menyediakan ruangan yang lebih banyak yang menggalakan masyarakat memperkatakan sesuatu aspek yang berkaitan dengan seni perfileman dan tidak semata-mata dari aspek sensasi dan gosip sahaja.

10. Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM) disaran menubuhkan pusat maklumat kepenontonan bagi rujukan kalangan penerbit dan pengkaji industri filem.

11. Finas perlu mengambil pakar-pakar dalam bidang produksi, teknikal dan pemasaran (termasuk dari luar negara) yang berperanan sebagai penasihat dan membantu penerbit dalam merancang penerbitan dan pemasaran filem mereka.

12. Dalam bidang latihan Finas patut menumpukan hanya dalam melatih tenaga pakar. Bengkel-bengkel asas yang dijalankan di Finas pada masa ini boleh dijalankan oleh institusi latihan seperti ASWARA, atau oleh persatuan-persatuan berkenaan.

13. Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan hendaklah mengembalikan semula jabatan perlesenan dan penguatkuasaan Finas kepada Finas sendiri, agar akta Finas dapat dilaksanakan dengan berkesan. Pengasingan jabatan penguatkuasaan dan perlesenan dari Finas telah menyusahkan pelbagai pihak yang berkaitan dengan pengeluaran, pengedaran dan pemamiran filem dan menyebabkan penyelarasan yang dijalankan oleh Finas sendiri, agensi-agensi lain yang berkaitan dan persatuan-persatuan perfileman menjadi perlahan dan tidak efektif. Tidak ada bukti menunjukkan pemindahan tempat urusan lesen dari Finas ke kementerian menjadi lebih baik, kerana pada masa ini proses kelulusan lesen masih lagi dirujuk dan diputuskan di Finas sendiri.

14. Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hendaklah menampilkan Kuala Lumpur sebagai bandaraya pusat filem Melayu.

Mereka yang telah membentang kertas kerja di seminar ini ialah Dr Mahadi J Murat (UiTM) “MELAKAR WAJAH SINEMA MALAYSIA – DARI MANA DAN KE MANA KITA ? “, Gayatri Pillai (Tayangan Unggul): ”PROMOTION AND MARKETING STRATEGIES – PRODUCERS PERSPECTIVE”, Norman Yusoff (UiTM): “PENGAJIAN FILEM DI IPTA/IPTS DAN INDUSTRI FILEM TEMPATAN – HALATUJU YANG TIDAK BERTEMU”, A Wahab Hamzah (Pengkritik Filem/DBP): “REALITI FILEM TEMPATAN DAN FILEM NEGARA JIRAN”, Norman Abdul Halim (PFM): “DARI LENSA PFM”, Dr Anuar Nor Arai (UiTM): “IDEA BESAR MEMERLUKAN CANVES YANG LUAS”, Ku Seman Ku Hussein (Mingguan Malaysia) “EKSPLOITASI MEDIA TERHADAP FILEM MALAYSIA”, U-Wei Hj Saari (Pengarah/Penerbit Filem):”FILEM MALAYSIA DAN FESTIVAL ANTARABANGSA”, Hatta Azad Khan (UiTM): “PENONTONAN FILEM DI PAWAGAM MALAYSIA”

Mahadi J Murat


0 comments: