Sunday 4 January 2009

Melakar wajah filem Malaysia

oleh Mahadi J Murat

Selepas 27 tahun Perbadanan Kemajuan Filem Nasional atau Finas ditubuhkan, pertanyaan sama ada Finas telah berjaya memajukan industri filem negara ini atau tidak, masih lagi kedengaran.

Seperti dengan bidang lain, pertanyaan ini boleh sahaja dirumuskan dengan menyatakan bahawa oleh kerana bidang perfileman begitu vibrant dan terus berkembang, penilaian terhadapnya tidak boleh dibuat hanya meneliti sesuatu aspek atau pada satu-satu bentuk dan sudut pandangan sahaja. Tetapi lebih dari itu pencapaian secara menyeluruh dalam konteks agenda pembangunan negara perlulah menjadi asas untuk mengukur pencapaian tersebut.

Justeru itu melihat secara positif pengumuman Menteri Perpaduan, Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal mengenai dana pengeluaran filem kenegaraan semasa merasmikan KL International Film Festival 2008 pada 26 November lalu merupakan sesuatu yang akan melengkapkan usaha memajukan filem dalam konteks pembangunan negara.

Saya yakin pengumuman tersebut tentunya dibuat berasaskan perakuan daripada cadangan Finas yang memiliki segala data dan maklumat mengenai bidang perfileman di negara ini.

Dalam beberapa seminar dan penulisan di akhbar dan majalah saya telah menyatakan sokongan saya terhadap gagasan ini. Malah dalam tahun 2004 ketika Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir semasa menjadi Menteri Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan, Gafim yang ketika itu di bawah pimpinan saya telah mengemukakan rumusan Simposium Industri Perfileman Malaysia mencadangkan antara lain tentang perlunya kementerian menerbitkan sendiri filem-filem yang berkaitan dengan seni budaya dan kenegaraan.

Ekoran daripada cadangan Gafim itu Kadir telah melantik Zakaria Ariffin untuk menulis skrip filem Mahsuri, Hatta Azad Khan (Merdeka Merdeka Merdeka), Anuar Nor Arai (Mahawangsa), dan saya sendiri ditugaskan menulis skrip filem Melaka.

Seingat saya kementerian telah membelanjakan sebanyak RM70,000 untuk setiap satu skrip yang berkenaan. Saya yakin skrip-skrip filem berkenaan masih lagi berada dalam simpanan bahagian kebudayaan kementerian berkenaan dan akan turut diteliti oleh pihak yang berkenaan sama ada ia termasuk dalam kategori filem kenegaraan atau sebaliknya.

Saya difahamkan dana penerbitan filem kenegaraan ini adalah dana pembiayaan filem yang berupa geran yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan melalui Finas untuk membiayai filem-filem tertentu yang termasuk dalam definasi filem kenegaraan itu. Sebanyak RM15 juta telah diluluskan oleh kabinet untuk kegunaan pusingan pertama. Pihak Finas khabarnya sedang menyediakan mekanisme bagaimana proses program ini akan dilaksanakan.

Satu perkara yang sangat penting diputuskan ialah mengenai definisi filem kenegaraan itu. Apakah sebenarnya filem kenegaraan dan bagaimana pula ia harus dikendalikan dan diedarkan terutama selepas filem-filem tersebut diterbitkan.

Perkara ini amat perlu diperjelaskan agar penerbitan filem-filem berkenaan dapat dirancang dengan mengambil kira objektif dan sasaran penerbitannya. Semenjak Finas ditubuhkan dalam tahun 1981 hampir tidak ada filem untuk negara telah diterbitkan di negara ini. Filem-filem yang diterbitkan umumnya hanya berupa filem-filem edaran teaterikal dalam negara yang mementingkan keuntungan dalam konteks perniagaan.

Dengan adanya dana pembiayaan filem kenegaraan ini saya yakin usaha-usaha untuk meningkatkan perhatian dan apresiasi terhadap filem keluaran Malaysia akan dapat dipertingkatkan.

Pengeluaran filem-filem ini juga berjaya memenuhi objektif pengeluarannya akan juga merangsang penyertaan dari pihak swasta yang akan membawa kesan menyeluruh terhadap perkembangan industri filem di Malaysia.

perhatian

Suatu perkara yang perlu diberi perhatian ialah filem untuk kenegaraan ini juga tidak semestinya berupa filem berasaskan sejarah, walaupun sejarah sentiasa boleh dikaitkan dengan kepentingan negara. Yang lebih penting apabila aspek kenegaraan dan bangsa dikaitkan sesuatu keluaran itu perlulah dinilai dari sudut pemikiran, peradaban, nilai seni dan nilai sejarah yang relevan dengan imej sesuatu masyarakat berbudaya.

Antara negara yang mungkin boleh dirujuk Malaysia dalam menilai ciri-ciri kenegaraan ini barangkali ialah negara Thailand. Antara filem Thai yang amat menarik diterbitkan pada tahun lalu ialah filem arahan Putera Chatrichalerm Yukol iaitu filem King Naresuan. Filem ini mengisahkan tentang sejarah kehebatan putera raja bernama Naresuan pada sekitar tahun 1564 dalam era perang Siam dan Burma. Filem ini menelan belanja sebanyak lebih RM60 juta mengambil masa tiga tahun disiapkan dengan set dibina pada kawasan seluas 700 ekar dan mula ditayangkan pada bulan Januari 2007.

Yukol juga menghasilkan filem Suriyothai (2001) dengan kos hampir RM40 juta dan masa pembikinan selama 40 bulan. Tetapi perlu juga diketahui filem Thai yang cukup berjaya di pasaran antarabangsa dalam tempuh tiga tahun terakhir ini adalah filem aksi lakonan Tony Jaa iaitu Ong Bak.

Selain Thailand, Vietnam sebuah negara yang pernah melalui sejarah gelora perang yang panjang mula memperlihatkan perkembangan perfileman yang menarik akhir-akhir ini. Doi Moi atau reformasi ekonomi dan dasar pintu terbuka Vietnam pada sekitar 1986, telah turut memberi kesan kepada kebangkitan pembikinan filem Vietnam. Hasilnya muncul filem antaranya The Scent of Green Papaya (1993) dan Cyclo (1995) arahan Anh Hung Tran, Three Seasons (Tony Bui) dan Buffalo Boy (Minh Nguyen-Vo). Filem terbaru yang sedang sensasi di Vietnam sekarang ini adalah filem Dong Mau Anh Hung (Pemberontak) arahan Johnny Nguyen (pengarah Vietnam-American, sama seperti Tony Bui). Filem berlatarkan Vietnam di awal perang dan dihasilkan dengan kos AS$1.5 juta mengisahkan tentang tentang seorang pemuda yang baru tamat belajar di Perancis pulang ke Vietnam atas tugas rahsia dari kolonialis Perancis tetapi kemudian jatuh hati dengan gadis tempatan yang juga seorang agen Vietcong.

Aspek penting yang saya kira patut juga menjadi matlamat penerbitan filem untuk negara yang dicadangkan itu ialah aspek pembangunan karyawan. Matlamat mencari keuntungan dalam pengertian yang lebih luas hendaklah menjadi objektif pembiayaan filem kenegaraan ini.

Pembangunan karyawan seperti penulis skrip, pengarah, sinematografer, pereka produksi dan editor patutlah menjadi sebahagian objektif pengeluaran filem ini.

Menyentuh tentang penulisan skrip - sebahagian peruntukan untuk pembangunan skrip patutlah diadakan bagi mendapatkan skrip-skrip yang bersesuaian. Dana pembangunan skrip ini tentu dapat merangsang para penulis yang serius untuk menyertai dalam menghasilkan skrip-skrip bermutu yang ada kaitan dengan objektif filem kenegaraan.

Adalah diharapkan kita tidak perlu menunggu selama 27 tahun lagi untuk melihat filem-filem yang benar-benar dapat menyumbang kepada pengukuhan kedudukan kita sebagai suatu bangsa di muka bumi ini.

Dr. Mahadi J. Murat adalah pensyarah di Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik UiTM, Shah Alam.

(Petikan Mingguan Malaysia 28 Disember 2008)

2 comments:

Aloy Paradoks said...

Suatu perkara yang perlu diberi perhatian ialah filem untuk kenegaraan ini juga tidak semestinya berupa filem berasaskan sejarah, walaupun sejarah sentiasa boleh dikaitkan dengan kepentingan negara. Yang lebih penting apabila aspek kenegaraan dan bangsa dikaitkan sesuatu keluaran itu perlulah dinilai dari sudut pemikiran, peradaban, nilai seni dan nilai sejarah yang relevan dengan imej sesuatu masyarakat berbudaya

-sy setuju dengan kenyataan saudara itu.... bila agaknya skrip melaka dan yg lain itu akan dipersembahkan.

MAHADI J MURAT said...

Skrip tersebut sepatutnya berada di kementerian dan di Arkib Negara sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan menyelaras kerja menulis itu. Saya sendiri ada salinannya. Tujuan saya menyebut ini bukanlah hendak mendesak tetapi mengingatkan kementerian tentang adanya usaha dimasa lalu tentang perkara ini, dan barangkali kalau ianya sesuai mungkin molek diteliti sama