Sunday, 18 January 2009

Secebis Coretan PRK Kuala Terengganu

SAYA bertolak ke Kuala Terengganu bersama Hasshim Abu Hanifah 16 Januari 2009 jam 2.50ptg kerana siaran langsung rancangan Blog RTM dari Universiti Darul Iman sebelah malamnya. Dalam kapalterbang saya nampak muka-muka orang politik tertentu antara mereka ialah "Usu Sukam", dan beberapa orang yang memakai kemeja puteh dengan logo UMNO.

Tiba di LT Sultan Mahmud Kuala Terengganu saya melihat ramai anggota polis berkeliaran di sana sini. Saya juga ternampak Ong Tee Kiat presiden MCA yang juga menteri kesihatan, dan terpandang juga bekas pengarah pengurusan polis Datuk Christopher Wan. Christopher Wan ke Kuala Terengganu saya kira bukan untuk membantu berkempen tetapi bermain golf, kerana beliau membawa beg kayu golf yang besar.

Saya kemudian disapa oleh seorang pegawai polis trafik yang menyebut nama saya dengan lengkap "Mahadi J Murat?". Saya mengangguk dan kami bersalaman. Beberapa orang anggota polis lain menyertai kami. Kami berbual ringkas. Anggota polis itu ialah di antara 6000 anggota polis yang dibawa khas dari seluruh negara untuk membantu perjalanan pilihanraya kecil Kuala Terengganu. Saya bertanya anggota polis tersebut keadaan di Kuala Terengganu. Beliau memberi isyarat yang tidak begitu memperlihatkan keadaan yang baik untuk BN.

Saya kemudian terus ke kampus kota Universiti Darul Iman, dan kebetulan berjumpa dengan Naib Canselor universiti tersebut yang juga rakan saya semasa di Universiti Malaya iaitu Profesor Datuk Ilias Daud; sempat berbual dan bergurau senda ringkas dengan beliau.

Selepas kira-kira sejam di UDI saya kemudian dibawa dengan kereta oleh beberapa orang wartawan dan petugas media menaikki MPV melalui jalan-jalan penting di KT dan kemudian singgah di sebuah rumah yang disewa khas untuk musim pilihanraya ini. Sepanjang jalan saya lihat poster, bendera, dan gambar-gambar pilihanraya parti-parti yang bertanding begitu padat sekali. Kehadiran Pas begitu menonjol sekali dalam pilihanraya ini.

Seorang wartawan kanan memberitau saya payah untuk BN kali ini. Saya tanya kenapa? Dia menjawab BN tak ada orang. Ketua Penerangan UMNO negeri pun tak nampak muka. Orang-orang yang dilantik memimpin pekerja parti diberi peruntukan misalnya RM500 ribu seorang, tetapi duitnya tak sampai ke bawah, tak ada pekerja yang bekerja bersungguh-sungguh. Orang Pas di mana-mana sahaja, dan mereka bekerja begitu komited untuk memenangkan calon parti mereka, walaupun tak mendapat habuan. "Bayangkan orang-orang yang memasang poster dan bendera untuk Pas terdiri dari Profesor Madya, Doktor dan lain-lain. UMNO ?. Yang ada katanya bila menteri-menteri datang disitulah semua orang berlonggok untuk menunjukkan muka. Bekerja tak ada orang.

Satu lagi kata dia di kampong Cina. BN menganjurkan jamuan untuk pengundi-pengundi di kawasan tersebut, mereka semua datang. Tapi bayangkan apabila DAP datang, pengundi-pengundi tersebut keluarkan duit dan anjurkan majlis makan untuk Pakatan Rayat.

Begitulah keadaannya.

Malam itu selepas siaran langsung kami meronda lagi, dan sentimennya tetap tidak memperlihatkan sinar baik bagi BN.

Esoknya hari mengundi saya dan Hasshim berlepas pulang ke Kuala Lumpur jam 10.00 pagi. Di airport kami tersua Hamid Albar dan sempat besalaman dan bercakap sepatah dua dengan beliau. Di tempat menunggu untuk berlepas saya dan Hasshim duduk di penjuru belakang dan memasan secawan kopi di Cafeteria. Dari jauh saya melihat seorang tokoh yang kami kenali berjalan datang dan menghampiri kami dan mengamnbil tempat duduk di meja kami. Beliau ialah Tan Sri Khalid Ibrahim, menteri besar Selangor yang berbual panjang dengan kami sehingga ke dalam kapalterbang.

Bagaimanapun tak ada soal Kuala Terengganu yang kita bualkan.

Malam tadi selepas pulang dari pasar malam untuk membeli bekalan pasar seminggu, isteri saya memberitahu Pas memenangi kerusi parlimen Kuala Terengganu.

Saya tersenyum, kemudian mendail suatu nombor.

0 comments: