Monday, 20 April 2009

Kenyataan Akhbar

INSTITUT KESENIAN DAN KAJIAN MEDIA MALAYSIA (inKEM)

“ FINAS DICADANG AMBIL ALIH PENDAFTARAN PERSATUAN-PERSATUAN PERFILEMAN “


FINAS diseru mengambil alih pendaftaran persatuan-persatuan perfileman yang mendapat dana tahunan darinya.

Pengambilan alih ini penting untuk menentukan persatuan-persatuan berkenaan diurus dengan baik, membawa faedah kepada pemantapan kerjaya ahli-ahli dan dapat membantu Finas menjayakan program pembangunan industri filem tempatan dengan berkesan.

Konsep pendaftaran yang dicadangkan ini samalah dengan yang dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) di mana semua persatuan sukan seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Persatuan Lumba Basikal Malaysia (PLBM), Majlis Olimpik Malaysia (OCM) adalah berdaftar dengannya.

Melalui keadah pendaftaran inilah MSN mengawal dan mempastikan sektor pembangunan sukan dapat dirangsang dan digerakkan dengan bersistematik.

Pada masa ini Finas memberi bantuan tahunan sebanyak RM30,000 pada setiap persatuan selain dari memberi bantuan tidak langsung dalam bentuk penyediaan pejabat, bilik mesyuarat, penggunaan dewan, bantuan projek dan lain-lain.

Aktiviti dan program yang dijalankan oleh kebanyakan persatuan pada masa ini tidak begitu jelas jenis dan matlamatnya. Perlembagaan kebanyakannya juga tidak mencerminkan objektif ianya ditubuhkan. Syarat menjadi ahli terlalu umum sehinggakan orang yang tidak berkaitan diterima dengan mudah sebagai ahli.

Ini menyebabkan pengamal sebenar industri menjauhkan diri.

Kesannya gagasan Finas tidak dapat melibatkan sebahagian besar karyawan yang benar-benar terlibat dengan bidang perfileman.

Syarat menjadi ahli yang longgar juga menyebabkan pemimpin tidak berwibawa dan tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam dengan isu-isu bidang profesyen yang berkaitan membawa masuk “kayu mati” sebagai ahli dan “mengundi secara hantu” untuk terus memimpin persatuan.

Persatuan akhirnya digunakan sebagai kuda tunggangan untuk kepentingan peribadi.

Sekiranya Finas mensyaratkan semua persatuan perfileman mendaftar dengannya, dan mewajibkan setiap persatuan menghantar penyata kewangan dan laporan tahunan kepadannya, peranan persatuan-persatuan akan menjadi lebih berkesan lagi.

DrMAHADIjMURAT

Presiden

Puncak Perdana, 19 April 2009

0 comments: